Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

 Golongan yang tidak berpuas hati dengan kelulusan permit tanah kepada Persatuan Yee Lan Sheng Hui Gombak tidak sepatutnya menjadikan ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sebagai sasaran tindakan kekerasan, kata Exco Kerajaan Selangor Ronnie Liu.

NONE Katanya, isu melibatkan tuntutan ke atas tanah seluas kira-kira 2,400 kaki persegi itu sepatutnya boleh diselesaikan secara perbincangan.

Katanya, beliau akan mengkaji kronologi kes tersebut, yang menyebabkan seorang ahli majlis Lim Ching How ( kiri ), 47, dipukul oleh sekumpulan lelaki, didakwa daripada sebuah NGO Melayu.

Turut terlibat dalam kejadian itu ialah seorang setiausaha ADUN Batu Caves, Mohd Zuhudi Ahmad, 57.

Ronnie Liu berkata, permit tahunan bagi tanah berkenaan dikeluarkan secara kolektif oleh MPS kepada persatuan Yee Lan Sheng Hui sejak Disember tahun lalu.

"Mereka tidak sepatutnya marah kepada seorang ahli majlis sahaja, kerana ia diputuskan secara kolektif.

NONE "Sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan kelulusan itu, mereka sepatutnya menyalurkan aduan kepada majlis.

"Mereka boleh berbincang dengan yang dipertua majlis dan mereka tidak sepatutnya mengambil tindakan kekasaran," katanya lagi.

Tambahnya, beliau akan menghantar surat kepada ketua polis Selangor untuk menyegerakan siasatan ke atas insiden tersebut.

Katanya, kerajaan negeri juga tidak akan melayan tuntutan daripada parti politik untuk mendirikan sebarang struktur di kawasan lapang seperti itu.

"Sejak 2008 kami tidak lagi melayan apa-apa permohonan untuk mana-mana syarikat menggunakan kawasan hijau.

Katanya, larangan itu juga digunapakai kepada parti politik, termasuk parti komponen Pakatan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan satu permohonan seumpamanya yang ditolak sebelum ini daripada Pergerakan Pemuda Umno Gombak.

Ketika membacakan sekeping surat, Ronnie berkata pergerakan tersebut bagaimanapun tidak bertindak secara "bersendirian" dalam hal itu.

"Pemuda Umno Gombak tidak bertindak sendirian. Mereka melakukannya melalui syarikat bernama Simfoni.

"Dengan cara itulah Umno terlibat," katanya.

Ronnie bagaimanapun enggan mendedahkan dokumen bagi membuktikan penglibatan Umno dalam permohonan berkenaan.

"Kita akan kumpulkan dulu semua kronologi ini, kemudian kita akan panggil satu lagi sidang media," katanya.

NONE Syarikat Dinasti Simfoni Sdn Bhd pernah mengemukakan permohonan sebelum ini bagi menggunakan tanah berkenaan.

Ronnie berkata, syarikat berkenaan berniat untuk mengusahakan perniagaan mencuci kereta dan juga membina gerai di tanah berkenaan.

Difahamkan, permohonan tersebut dibuat beserta surat sokongan daripada exco hal ehwal agama Selangor, Datuk Dr Hasan Ali kepada MPS, bertarikh 22 Januari 2009 (kanan).

Ronnie bagaimanapun berkata MPS tetap memberi kelulusan kepada Persatuan Amal Yee Lan Sheng Hui Gombak bagi menggunakan tanah berkenaan untuk mendirikan satu bangunan pejabat.

 

 

ADS