Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo hari ini menafikan khabar angin bahawa ADUN Seri Serdang Datuk Mohamed Satim Diman mahu meletakkan jawatan.

azlan "(Khabar angin itu) cuma tulisan di media sosial sahaja," katanya melalui kiriman SMS kepala Malaysiakini pagi ini.

Malam tadi, kegagalan Satim hadir dalam mesyuarat pengurusan badan Perhubungan Umno Selangor menyemarakkan lagi spekulasi wakil rakyat itu ingin melepaskan semua jawatan politiknya.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar dilaporkan berkata Satim ada menghubunginya dan mengatakan beliau tidak dapat hadir pada mesyuarat malam semalam kerana ada urusan.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Dr Mohd Khir menjelaskan, isu tersebut sengaja dimainkan oleh pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan Umno Selangor.

Menurut ketua pembangkang Selangor itu lagi, terdapat penulis blog yang sebelum ini dilihat sebagai anti-Pakatan turut terlibat menyebarkan maklumat tidak benar itu.

Bekas menteri besar Selangor  itu menyifatkan 'kehilangan' ADUN Seri Serdang sehingga pihak media gagal menghubunginya sebagai "soal peribadi".

"Ini soal peribadilah. Datuk (Mohamed) Satim Diman adalah seorang yang agak terbuka. Saya tahu karekter beliau," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Dr Mohd Khir yang juga ketua pembangkang DUN Selangor diminta mengulas mengapa pihak media gagal menghubungi Satim untuk mendapatkan penjelasan berhubung khabar angin tersebut.

Sementara itu, seorang pemimpin Umno Puchong - bahagian yang dipimpin Satim - meminta agar semua pihak tidak membuat andaian.

Ahli jawatankuasa bahagian itu, Abd Hamid Md Yusof berkata Satim menelefonnya malam tadi dan menasihatkan agar mereka "supaya diam tentang perkara ini" dan "tidak membuat sebarang andaian".

azlan "(Dalam perbualan telefon) Saya berkata kepadanya (Satim), kalau tidak betul perkara itu, kita buat sidang media (menafikannya). Tapi beliau suruh (saya) diam sahaja perkara ini.

"Saya pun tidak pasti apa matlamat beliau cakap begitu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Menurut Abdul Hamid, pejabat Umno Puchong pagi ini juga telah mengeluarkan arahan supaya isu peletakan jawatan Satim itu "tidak dibesar-besarkan".

Katanya, beliau sendiri mendengar desas-desus berhubung hasrat ketuanya untuk mengosongkan kerusi tersebut sejak minggu lalu.

Bagaimanapun, Abdul Hamid yang ketua Umno cawangan Puchong Indah berkata dalam mesyuarat bahagian itu sebelum ini, Satim tidak membangkitkan hasratnya untuk melepaskan kerusi tersebut.

"Itu yang menjadi tanda tanya (sekarang ini). Mesyuarat sebelum ini kita berbincang untuk menguatkan perjuangan. Tak ada masalah," katanya.

Usaha Malaysiakini setakat ini gagal untuk mendapatkan penjelasan daripada Satim yang juga setiasusaha perhubungan Umno Selangor.

 

ADS