Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ulama Umno: Ketaksuban halang perpaduan
Diterbitkan:  Jul 22, 2010 10:57 AM
Dikemaskini: 3:33 AM

Kumpulan ulama muda Umno - yang menyertai parti itu baru-baru ini - berpendapat selain tekanan daripada pelbagai pihak, ketaksuban dan keegoan juga menjadi penghalang utama perpaduan Umno-PAS.

Bergerak atas nama Sekretariat Ulama Muda Umno (iLMU), mereka melihat kerjasama Umno-PAS merupakan asas penting perpaduan masyarakat Melayu.

young ulama join umno 250610 03 Jurucakapnya Fathul Bari Mat Jahaya (duduk, kiri sekali) juga mengenepikan dakwaan bahawa hanya PAS mendukung Islam dan hanya Umno menduduk bangsa Melayu kerana perlembagaan "menggambarkan orang melayu adalah beragama Islam".

"Jadi perjuangan memartabatkan agama juga beerti perjuangan memartabatkan bangsa.

"Oleh itu, kedua-dua pihak perlu bersatu bagi mengimbangi dasar perjuangan masing-masing," kata Fathul.

Beliau mengulas hasrat melihat perpaduan dua parti yang berasaskan sokongan Melayu itu setelah disuarakan kembali oleh Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria baru-baru ini.

Berlaku debat panjang di media berhubung perkara itu di mana pemimpin Umno rata-rata dilihat menunjukkan keterbukaan, manakala pemimpin kanan PAS pula kuat menentangnya.

Dalam kenyataan kepada Malaysiakini hari ini, Fathul turut mempersoalkan kenapa ada suara sumbang terhadap cadangan kerjasama tersebut walaupun disuarakan oleh pemimpin tertinggi negara dan ilmuan Islam.

'Mengapa tidak maafkan saudara kita?'

"Mungkin ada yang bersuara, pengalaman lalu membuktikan bahawa Umno-PAS tidak mungkin bersatu. Sangkaan seperti ini sebenarnya jauh tersasar.

"Sewajarnya kita melihat ke hadapan, bukan semata-mata menjadikan kenangan lalu sebagai penutup bagi segala kebaikan," katanya.

Fathul menjelaskan, setiap manusia pasti melakukan kesilapan dan kesalahan dan "mengapa tidak kita sebagai manusia memaafkan saudara kita".

young ulama join umno 250610 02 "Mungkin ada yang berkata, mereka (Umno) ini tak ikhlas nak bersatu. Siapa kita untuk mengetahui hati-hati manusia?

"Bahkan kita tidak dijadikan untuk merobek hati-hati manusia," kata ulama lepasan universiti di Jordan dan Madinah itu.

"Maka, apabila saudara kita datang untuk berdamai, sewajarnya kita berusaha untuk memurnikan keadaan "bukan terus mencipta fitnah dan tuduhan."

Sambil memetik firman Allah yang memerintahkan manusia supaya saling tolong-menolong dalam perkara kebaikan, Fathul berhujah sejarah Islam membuktikan sekiranya umat Islam benar-benar menghayati ajaran Islam, penindasan tidak akan berlaku.

"Perpaduan adalah jambatan penyelesaian bagi segala permasalahan bahkan menjanjikan kejayaan yang berpanjangan," katanya lagi.

Fathul antara 40 ulama muda yang menyertai Umno pada 25 Jun lalu - projek yang dilihat cuba menarik kembali golongan agama terhadap parti itu yang jauh ketinggalan berbanding PAS.

ADS