Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan ketua perhubungan Umno Selangor Datuk Noh Omar mencabar kerajaan Selangor supaya mendedahkan nama individu yang bertanggungjawab menasihati pentadbiran negeri itu dalam isu penyaluran air dari Pahang.

Katanya, kerajaan Selangor yang dipimpin Pakatan Rakyat perlu bertindak demikian untuk membuktikan bahawa negeri itu tidak akan mengalami krisis air menjelang 2013 seperti yang dinyatakan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

noh omar statement in paper parliament pc 301105 noh omar "Siapa perundingnya, jangan bercakap tanpa bukti. Penasihat mana yang beri nasihat kepada Selangor supaya tidak beri kerjasama (dengan) kerajaan persekutuan untuk mulakan Projek (Loji Rawatan Air Langat 2),” katanya.

KeTTHA dalam laporan sebelum ini sebelum ini menjangkakan, projek yang dianggarkan bernilai RM317 juta itu akan dimulakan pada bulan Ogos dan dijangka siap menjelang penghujung Mei 2014.

Bagaimanapun, projek berkenaan masih terhenti setakat ini memandangkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor masih menangguhkan pengeluaran perintah pembangunan untuk membolehkan projek tersebut dilaksana.

Menteri besarnya Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini berkata data yang disediakan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) yang mengunjurkan bahawa Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya berdepan krisis air sebagai tidak tepat.

Katanya, unjuran tersebut dibuat berdasarkan Kajian Sumber Air Nasional (NWRS) yang dijalankan Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada 2000.

Namun, anggaran tersebut tidak didasarkan kepada 'Design Guidelines for Water Supply Systems' yang dihasilkan Persatuan Air Malaysia, kata Khalid.

Mengulas pandangan itu, Noh berkata Khalid perlu berhenti membuat kenyataan seperti itu untuk mengelakkan kekeliruan kepada rakyat.

"Kalau menteri besar buat kenyataan berbeza dengan daripada (pandangan kerajaan) persekutuan, ini akan mengelirukan rakyat dan pelabur akan lari," katanya.

Beliau mengambil peluang tersebut untuk membidas kerajaan Selangor hari ini ketika ditanya mengenai dakwaan berlakunya persaingan di antara beliau dengan Datuk Seri Khir Toyo dalam mengetengahkan isu kecurian pasir di negeri itu.

Noh bertindak menafikan dakwaan tersebut dan melampiaskan semula serangan ke arah Pakatan Rakyat yang didakwa bertindak menimbulkan isu konflik kepemimpinan dalam Umno Selangor itu bagi menutup kelemahan pentadbiran negeri dalam menangani isu pasir.

Jelasnya, pelabur tidak akan datang ke negeri itu sekiranya Selangor menghadapi masalah air kelak.

"Saya nak bagi amaran kepada kerajan selangor jangan memperjudikan nasib rakyat selangor di masa depan semata-mata kerana politik. Jangan ingat PKR akan terus memerintah.

"Kalau masalah ini timbul menjelang 2013, masalah ini bukan sahaja akan dihadapi PKR tetapi seluruh negeri Selangor," katanya lagi.

Noh berkata demikian pada satu sidang media selepas merasmikan Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia di Pusat dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur hari ini.

Noh yang juga menteri pertanian dan industri asas tani turut merasmikan Persidangan Perniagaan Agro-Bio Antarabanga Malaysia selepas menyampaikan ucaptamanya di majlis tersebut.

ADS