Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khutbah: Pemuda Umno desak siasatan segera
Diterbitkan:  Aug 20, 2010 4:26 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendesak supaya siasatan segera dijalankan ke atas dakwaan bahawa nama Yang di-Pertuan Agong telah ditukar dengan nama Lim Guan Eng, ketua menteri Pulau Pinang dalam khutbah Jumaat di negeri itu.

Katanya, jika ia benar terjadi, maka tindakan seperti itu akan membangkitkan semula kemarahan masyarakat Islam Pulau Pinang, rentetan daripada tindakan kerajaan negeri membatalkan sambutan Maulidur Rasul sebelum ini.

"Sikap biadap seperti ini pastinya membuat luka yang menyinggung hati umat Islam di Pulau Pinang dengan pembatalan perarakan Maulidur Raasul pada Februari lalu berdarah kembali," katanya

Tambahnya, tindakan seperti itu juga menunjukkan "kerakusan kuasa" Lim di negeri itu sekiranya ia benar-benar berlaku seperti yang didakwa.

"Pemuda Umno juga membantah dan menolak dengan keras penggantian itu, sekiranya benar terjadi," kata Khairy dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataannnya itu adalah berdasarkan satu laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini.

"Tindakan in bukan sahaja menghina institusi raja selaku ketua agama bahkan kesucian masjid dengan penggunaan mimbar sebagai saluran politik bagi mengagungkan Lim Guan Eng," katanya lagi.

Khairy juga menyifatkan tindakan seperti itu sebagai "pelik dan dangkal" kerana bacaan doa dalam khutbah tersebut sememangnya dikhususkan kepada ketua agama islam persekutuan dan negeri.

"...(Ia) bukannnya untuk ketua eksekutif pentadbiran negeri iaitu menteri besar atau ketua mengeri, tidak kira sama ada beliau itu Islam atau tidak," katanya lagi.

Khairy juga mengambil peluang untuk menempelak PAS yang berdiam diri dalam isu berkenaan.

"Sikap berdiam diri yang ditonjolkan PAS bukan sahaja menzahirkan kerelaan mereka di dalam mempromosikan cengkaman dan campur tangan DAP di dalam urusan umat Islam," katanya lagi.

ADS