Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Yusof Nor: Pembangkang cuba pecah belah Felda
Diterbitkan:  Aug 22, 2010 10:42 AM
Dikemaskini: Aug 23, 2010 1:44 AM

Cubaan pembangkang untuk masuk ke Felda adalah satu gangguan yang tidak diingini oleh  warga komuniti itu, kata Pengerusinya Tan Sri Dr Mohd Yusof Nor.

Menurut beliau pihak-pihak terlibat sebenarnya mahu melihat peneroka dan pentadbiran dalam organisasi itu berpecah-belah untuk memudahkan mereka menyusup masuk.

    

"Mereka serang dan fitnah Felda kerana nampak Felda semakin berkembang, sebab itu mereka nak masuk dalam Felda," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu semalam.

Sebelum itu, beliau menyampaikan saguhati kepada 19 Pengerusi Masjid dalam Rancangan Felda Terengganu dengan setiap seorang menerima sebanyak RM300.

Mengulas lanjut beliau berkata pihak pengurusan Felda tidak akan terikut-ikut dengan perkara itu sebaliknya akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi Felda yang sebelum ini telah  menerima pengiktirafan dunia.

"Peneroka terutamanya tidak perlu bimbang kerana Felda tidak terjejas dan tidak mengalami kekangan daripada segi kewangan. Pengurusan Felda adalah profesional," katanya.

     

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Felda merancang  membina masjid contoh seperti yang disarankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

    

"Lokasinya akan ditetapkan kemudian, masjid ini bakal menjadi institusi penting dalam Felda. Kita sedang memperhalusi dari segi rekabentuk yang bersesuaian.

"Ia nanti bukan sahaja ada kemudahan beribadat tetapi juga kemudahan lain seperti tadika, klinik, perpustakaan dan sebagainya," kata beliau.

    

Yusof berkata kos untuk masjid itu akan ditentukan kemudian.

"Satu jawatankuasa khas juga akan melihat kemungkinan ia dilaksanakan di 400 masjid yang sedia ada di kawasan-kawasan Felda seluruh negara kerana kita tidak boleh sewenang-wenangnya buat masjid di tapak baru," katanya.    

    

Masjid itu juga akan mengadakan program bersesuaian bagi menarik minat golongan muda dan juga kanak-kanak ke masjid, tambah beliau.

- Bernama

ADS