Undang: Ismail Lasim tak perlu lagi menghadap Tuanku Muhriz
Kumpulan Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin mendakwa Menteri Besar Negeri Sembilan Ismail Lasim tidak perlu lagi menghadap Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi urusan pentadbiran negeri kerana krisis takhta sudah selesai.
Dalam kenyataan bersama bertarikh 20 Okt, mereka mendakwa urusan penurunan takhta dan pemilihan Yang di-Pertuan Besar sudah disempurnakan mengikut adat serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
Menurut mereka, proklamasi berkenaan diterima dan diputuskan untuk dilaksanakan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 15 Sept, manakala Majlis Raja-Raja dimaklumkan melalui surat Menteri Besar bertarikh 21 Sept.
“Kami menegaskan bahawa hal kedudukan takhta Yang di-Pertuan Besar adalah prerogatif mutlak YTM Undang Yang Empat sebagaimana yang termaktub menurut adat dan UUTKNS 1959,” menurut kenyataan itu.
/file/attachments/orphans/n9b12_268897.png)
Mereka merujuk Perkara 71(1) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 10 dan 11 UUTKNS bagi menyokong pendirian tersebut.
“Kerajaan Persekutuan, jabatan dan agensinya tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara ini. Mereka hendaklah menghormati kedaulatan Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus dan keluhuran adat serta UUTKNS 1959,” menurut kenyataan itu.
Kumpulan pembesar adat itu turut mengarahkan pentadbiran negeri, khususnya Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri, mematuhi arahan Menteri Besar serta ketetapan kerajaan negeri berdasarkan tafsiran mereka terhadap Perkara 35 UUTKNS.
“Kami selaku Raja Pemerintah Kerajaan Negeri Sembilan yang sah menurut Perkara 28 UUTKNS 1959 bertitah dan bersabda agar YB Setiausaha Kerajaan Negeri dan YB Penasihat Undang-Undang Negeri menurut arahan pentadbiran YAB Menteri Besar Negeri Sembilan dan akur dengan ketetapan Kerajaan Negeri,” menurut kenyataan itu.
/file/attachments/orphans/Tiktok1dsdd_770628.png)
Mereka mendakwa Tuanku Muhriz tidak lagi boleh menjalankan fungsi dan kuasa pemerintahan selewat-lewatnya pada 15 Sept, selepas keputusan MMKN berhubung proklamasi berkenaan.
“Maka kami menegaskan selanjutnya bahawa sebarang fungsi dan kuasa pemerintahan selepas 15 September 2026 hendaklah dirujuk terus oleh pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus kepada Kami selaku Raja Pemerintah Negeri Sembilan yang sah menurut Perkara 28 UUTKNS 1959,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 17 Sept menyatakan proklamasi itu tidak sah kerana tidak memenuhi kehendak Perkara 10 UUTKNS dan MB serta MMKN tiada kuasa unilateral mengosongkan takhta.
Pejabat SUK pula enggan mewartakan atau melaksanakannya manakala Tuanku Muhriz pada 16 Okt bertitah baginda tidak mahu menerima menghadap Ismail selagi kenyataan bahawa baginda bukan lagi Yang di-Pertuan Besar tidak ditarik balik.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/01/799fed72888d99d374467e20541249f3.png)
AGC turut mempersoalkan kesahan jawatan beberapa Undang yang menandatangani proklamasi berkenaan.
Dalam pada itu, kumpulan pembesar berkenaan juga mempertikaikan pembatalan perkenan pelantikan 10 anggota Exco oleh Tuanku Muhriz, dengan mendakwa tindakan tersebut tidak sah dan tidak berperlembagaan.
“Sewaktu titah tersebut dibuat, YAM Tunku Muhriz bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus dan tidak boleh menjalankan fungsi pemerintahan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, mereka menyatakan perkenan kepada Ismail dan 10 anggota Exco berkenaan untuk terus mentadbir negeri serta meminta anggota pentadbiran memberikan kerjasama penuh dan kesetiaan kepada kerajaan negeri.
“YAB Menteri Besar hendaklah menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi tanpa takut terhadap tekanan mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.
Mereka turut menyambut baik titah Raja-Raja Melayu pada 14 Okt yang menyeru kebijaksanaan, kesabaran dan penghormatan terhadap adat serta institusi diraja, selain seruan supaya pihak luar tidak mencampuri atau mempolitikkan pertikaian itu.
“Rakyat juga diseru agar tidak menyebarkan khabar yang belum disahihkan dan tidak terpengaruh dengan naratif yang memecahbelahkan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan atas nama Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, empat individu yang disenaraikan sebagai Undang Luak Sungei Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau serta Tunku Besar Tampin.
Dokumen itu menamakan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, kedudukan yang masih dalam pertikaian pentadbiran dan undang-undang.'
/file/attachments/886/NS-PU-18-2026-halaman-1-1000x600_483795.jpg)
/file/attachments/886/NS-PU-18-2026-halaman-2-1000x600_984770.jpg)
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/undang423_276515.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.