Shuhaily mengaku tidak bersalah cederakan dua anggota polis
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Shuhaily Zain, didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pagi ini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Shuhaily berdepan dua pertuduhan berasingan dan melakukan kesalahan itu terhadap Faiz Saman serta Ekmal Sofwan Dirman.
Shuhaily didakwa menyebabkan kecederaan terhadap kedua-dua individu itu kira-kira jam 1.27 tengah hari pada bulan lalu, berhampiran Kaunter J di aras lima lapangan terbang antarabangsa berkenaan.
Shuhaily yang kelihatan tenang ketika berada di kandang tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail, mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, pasukan pembelaan Shuhaily yang terdiri daripada beberapa peguam berpengalaman memohon jumlah jaminan lebih rendah kerana kesalahan itu boleh dikompaun.
Barisan peguam Shuhaily terdiri daripada Rosal Azimin Ahmad, Ahmad Zaidi Zainal, Kitson Foong, Rafique Rashid, Yaacob Sam, Md Yunos Shariff, Akberdin Abdul Kader, Baljit Singh Sidhu dan Dr Badruzzaman Ishak.
Majistret kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM1,500 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan RM3,000. Mahkamah menetapkan 25 November ini untuk sebutan kes.
Proses undang-undang
Terdahulu, Shuhaily menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan kepadanya.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan, mendoakan saya dan menghantar mesej daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Sokongan ini memberikan kekuatan dan semangat kepada saya untuk meneruskan proses ini.
/file/attachments/orphans/police1_113989.png)
“Ini sidang media terakhir saya berhubung perkara ini. Selepas ini, peguam saya akan bercakap bagi pihak saya,” katanya kepada pemberita sebelum memasuki ruang galeri mahkamah majistret untuk prosiding hari ini.
Sebelum ini satu klip video yang didakwa menunjukkan insiden berkenaan tersebar di media sosial. Rakaman itu memaparkan seorang lelaki yang menyerupai Shuhaily memarahi dua individu, dengan salah seorang daripada mereka didakwa ditarik telinganya oleh Shuhaily.
Kedua-dua anggota polis itu dilaporkan bertugas sebagai pegawai kawalan perjalanan di Terminal 1 KLIA ketika kejadian berlaku.
Susulan penyebaran video itu, Shuhaily mempersoalkan motif rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkenaan disebarkan.
Dia berkata MCBA turut membuat laporan polis sendiri dan menggesa pihak berkuasa menyiasat sama ada penyebaran rakaman itu bertujuan mencemarkan nama agensi berkenaan serta reputasinya.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/02/cf0667319e5a2e446ce8e866bd734b5f.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.