Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengetua lelaki sebuah sekolah menengah luar bandar di Kedah yang didakwa mengeluarkan perkataan berbaur perkauman kepada pelajar bukan Islam baru-baru ini, dijangka ditukarkan ke sekolah baru yang juga terletak di kawasan luar bandar, mulai 1 September ini.

 

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Selambau (SMKBS) itu dikatakan akan memulakan tugasnya di sebuah sekolah menengah yang terletak di kawasan Felda dalam daerah pendidikan Baling/Sik.

 

Sumber berkata, pertukaran yang secara 'suka sama suka' itu adalah sebagai tindakan alternatif awal yang diambil bagi meredakan suasana hubungan antara komuniti setempat dengan pengetua berkenaan.

 

"Langkah itu difikirkan sesuai untuk masa ini dan ia adalah proses pertukaran biasa," kata sumber itu yang memberitahu siasatan terhadap pengetua tersebut dijalankan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Kedah dan pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda/Yan yang dikendalikan Penolong Pegawai Pelajaran (Hal Ehwal Murid), Salmah Hamdan.

'Balik ke China'

 

"Secara lisannya, pengetua berkenaan telah dimaklumkan mengenai keputusan itu dan beliau menunggu surat rasmi untuk berbuat demikian," katanya.

 

Selain murid, beberapa guru SMKBS dan ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan juga memberi kenyataan dan bermesyuarat bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Turut menyiasat kes itu ialah jemaah nazir dari Putrajaya dan polis cawangan khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

 

Pengetua berkenaan didakwa mengeluarkan kata-kata "balik ke China" kepada pelajar bukan Islam sekolah berkenaan dalam majlis perhimpunan pagi, baru-baru ini kerana menegur mereka yang tidak menghormati pelajar Islam yang berpuasa.

 

Tindakan itu mendapat respos segera daripada partai politik - MCA dan Gerakan - yang mahu tindakan diambil terhadap pengetua berkenaan termasuk menukarkan ke tempat lain.

 

Sumber itu berkata, pengetua berkenaan juga telah meminta maaf kepada sekumpulan pelajar terbabit dalam pertemuan khas di sekolah berkenaan beberapa hari lalu.

ADS