Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sultan S'gor gantung gelaran Dr Ling, OC Phang
Diterbitkan:  Sep 1, 2010 11:00 AM
Dikemaskini: 7:25 AM

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menggantung gelaran dan penggunaan darjah kebesaran kepada bekas  Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik dan bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang, Phang Oi Chooi @ Phang Ai Tu atau juga seringkali dikenali sebagai OC Phang.

azlan Dalam satu kenyataan, setiausaha kerajaan negeri Selangor, Datuk Ramli Mahmud berkata keputusan itu dibuat oleh Sultan Selangor, setelah berunding dengan Dewan di-Raja Selangor yang bersidang pada 19 Ogos lalu.

"Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor membuat keputusan  di atas setelah mempertimbangkan bahawa kesalahan-kesalahan yang dipertuduhkan ke atas kedua-dua mereka ini adalah kesalahan serius yang  melibatkan kepentingan rakyat dan negara," kata Ramli.

Ling dikurniakan keahlian darjah kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran Datuk pada tahun 1992.

Pada 29 Jun lalu, bekas presiden MCA itu didakwa atas pertuduhan  mengikut seksyen 418 dan 417 Kanun Keseksaan di mahkamah sesyen Putrajaya.

Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia dengan memperdaya Jemaah Menteri berhubung pembelian tanah untuk projek ”Mega Distribution Hub” di Pelabuhan Klang.

NONE Dia juga didakwa dengan curang menyembunyikan fakta berhubung penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah seluas 43,538,200 kaki persegi yang dicadangkannya.

Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ling bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan membayar ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.

Hakim kemudiannya menetapkan 3 September ini sebagai tarikh sebutan kes.

OC Phang pula dikurniakan keahlian Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (DSSA) bergelar Datin Paduka pada tahun 2001.

Dia pula didakwa atas pertuduhan di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan di mahkamah sesyen Klang.

NONE Phang, 63, didakwa sebagai pengurus besar yang diamanahkan bagi dana dalam sebuah akaun di RHB Bank Berhad, melakukan pecah amanah membabitkan RM98,700,000 di LPK, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang antara 1 Okt 2004 dan 5 Sept 2005.

Dia menghadapi dua lagi tuduhan serupa masing-masing membabitkan RM21,600,000 dan RM134,550,000, yang didakwa dilakukan di tempat yang sama antara 30 Sept 2005 dan 9 Mei 2006 dan antara 1 Jun 2005 dan 13 Jan 2006.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

ong tee keat pkfz klang visit 060508 12 Perbicaraan kesnya pula yang sepatutnya bermula di Mahkamah Sesyen di Shah Alam pada 25 Ogos lalu ditangguhkan ke 26 hingga 29 Okt ini.

Menurut kenyataan itu, penggantungan gelaran dan penggunaan darjah kebesaran kedua-dua mereka itu akan disemak semula jika mahkamah memutuskan mereka tidak bersalah dan dibebaskan daripada pertuduhan.

ADS