Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rosnah tak layan cabaran Namewee
Diterbitkan:  Sep 3, 2010 3:56 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, tidak akan melayan sebarang cabaran Wee Meng Chee atau Namewee untuk berdebat secara terbuka mengenai klip video kontroversinya yang boleh menyemarakkan api perkauman.

namewee nah 020910 Katanya, tindakan Namewee menerbitkan klip video terbarunya itu selepas klip video "Negarakuku" sebelum ini menunjukkan pemuda itu masih belum berubah dengan melakukan tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

Rosnah berkata, Puteri Umno telah mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pemuda berusia 27 tahun dari Muar, Johor, itu kerana mengulangi perbuatan biadabnya.

Klip video terbaru Namewee mengisahkan seorang pengetua sekolah didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman.

"Sebarang cabaran dari blogger itu (Namewee) tidak harus dilayan kerana ia jelas telah melakukan kesalahan sebagai rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita pada majlis Jelajah Tamadan Puteri Umno di Besut.

Rakyat Kelantan

Dalam perkembangan lain, Rosnah, yang juga timbalan menteri kesihatan berkata beliau akan membawa isu anak Terengganu terutamanya di kawasan utara negeri yang dilahirkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, supaya tidak diberikan status rakyat Kelantan.

rosnah abdul rashid shirlin Katanya, rundingan akan dibuat terlebih dahulu dengan pelbagai kementerian dan agensi bertanggungjawab supaya anak Terengganu yang dilahirkan di HUSM terus diberikan taraf kerakyatan Terengganu.

Kebanyakan wanita yang menghadapi masalah untuk melahirkan anak selalunya dirujuk ke HUSM kerana ia lebih dekat dengan Hospital Sultana Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, sekaligus menyebabkan anak yang lahir mendapat sijil kelahiran di Kelantan.

Perkara itu didakwa menimbulkkan pelbagai masalah terutamanya untuk mendapatkan hak keistimewaan yang diberikan kepada anak kelahiran Terengganu.

Mengenai program jelajah itu, Rosnah berkata ia telah dilaksanakan di beberapa buah negeri dalam usaha merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat dan anggota sayap itu.

- Bernama

ADS