Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Forensik masih masuki lokasi pembunuhan Sosilawati
Diterbitkan:  Sep 18, 2010 3:49 PM
Dikemaskini: 7:50 AM

Kenderaan anggota forensik polis masih kelihatan memasuki kawasan lokasi pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya di Ladang Gadong milik suspek utama kes itu di Kuala Langat.

Tinjauan Bernama berhampiran lokasi berkenaan melihat kenderaan forensik itu memasuki kawasan terbabit seawal pukul 8.30 pagi tadi dan keluar semula beberapa jam kemudian.

Sebuah kereta peronda MPV polis turut ditempatkan di laluan utama iaitu kira-kira 600 meter dari lokasi ladang milik suspek terbabit.

Kesemua kenderaan yang melalui laluan itu ditahan dan disoal sebelum diarahkan berpatah balik dan meninggalkan kawasan ladang.

Petugas media masih terus berkampung di sebuah kuil berhampiran bagi mengawasi dan memantau lokasi pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lepas sebelum didapati dibunuh dan dibakar di ladang berkenaan.

Selain petugas media, beberapa kenderaan yang melalui jalan utama turut memperlahankan kenderaan malah ada yang berhenti untuk melihat serta meninjau kawasan berhampiran.

Sementara itu, seorang lelaki yang merupakan pengusaha kantin di sekolah berhampiran dan hanya mahu dikenali sebagai Uncle berkata beliau masih sukar untuk mempercayai kejadian itu berlaku di lokasi berkenaan.

"Ketika hari awal kejadian saya nampak ramai orang saya ingat ada penggambaran filem, tetapi bila baca surat khabar dan tengok televisyen baru saya tahu ada kejadian bunuh," katanya.

--Bernama

ADS