Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NUJ: Polisi Utusan punca edaran merudum
Diterbitkan:  Sep 27, 2010 3:22 PM
Dikemaskini: 8:06 AM

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) mendesak dihapuskan polisi yang didakwanya ditetapkan oleh ketua pengarang dan pengarang kanan Utusan Malaysia yang bertentangan dengan etika kewartawanan, dan mengakibatkan kejatuhan edaran akhbar berkenaan.

nuj new president hata wahari NUJ bimbang pelaksanaan berterusan polisi tersebut akan menyebabkan jumlah edaran akhbar itu terus merundum pada masa akan datang.

"Tidak mustahil akhbar Utusan Malaysia juga akan menerima nasib seperti akhbar Utusan Melayu yang kini hanya menjadi sisiapan mingguan dalam Utusan Malaysia," kata presiden NUJ, Hata Wahari dalam satu kenyataan hari ini.

"Mungkin satu hari nanti akhbar Utusan Malaysia akan menjadi sisipan di dalam Kosmo yang merupakan satu lagi terbitan Utusan Melayu

(Malaysia) Berhad, memandangkan edaran akhbar kompak itu semakin meningkat setiap tahun," tambahnya.

Hata mendakwa polisi-polisi tersebut ialah laporan berat sebelah di mana Utusan hanya membuat laporan yang positif sekiranya ia melibatkan kerajaan dan BN, tetapi laporan negatif ditumpukan kepada kerajaan negeri dan Pakatan Rakyat.

Akhbar itu juga, dakwanya, tidak memberi peluang kepada orang yang dituduh untuk menjawab dan disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia.

NONE "Dalam perkara ini, Utusan Malaysia melaksanakan polisi untuk tidak menyiarkan kenyataan balas yang dibuat oleh parti-parti politik atau individu apabila laporan negatif dibuat terhadap mereka.

"Contoh terbaik ialah tidak disiarkan langsung kenyataan balas Menteri di Jabatan  Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz walaupun ruangan pojok Awang Selamat telah menghentam beliau," kata Hata lagi.

Utusan Malaysia juga, dakwanya, hanya menyiarkan berita dan keperluan satu kaum sahaja menyebabkan pembaca akhbar di Malaysia - Cina, India dan bumiputera lain - tidak berminat membacanya walaupun mereka mempunyai keupayaan untuk membaca dan menulis dalam Bahasa Malaysia.

" Utusan Malaysia sebagai sebuah akhbar yang menggunakana bahasa Kebangsaan, sepatutnya mengambil kira juga keperluan kaum-kaum lain," tambahnya.

Di samping itu, kata Hata, peningkatan jumlah pembaca Utusan Online juga membunuh minat pembaca, terutama di kalangan orang  Melayu untuk membeli Utusan Malaysia kerana mereka boleh membacanya percuma di internet.

utusan report against nuj hata 230910 "Peningkatan pembaca Utusan Online juga tidak menyumbang pendapatan yang tinggi kepada Utusan memandangkan ia hanya mengharapkan kepada pendapatan dari iklan.

"Sehubungan itu, NUJ meminta agar ketua pengarang dan pengarang kanan Utusan Malaysia untuk menghapuskan polisi yang tidak menguntungkan Utusan Malaysia," tegasnya.

Hata berkata, bimbang dengan kejatuhan edaran akhbar arus perdana (MSM) di negara ini terutama akhbar Utusan Malaysia.

Beliau mendakwa, jumlah edaran akhbar Utusan Malaysia merudum dari 213,000 kepada 169,000 (-21 peratus) dalam tempoh 2005-2009 seperti yang dikeluarkan ABC (Audit Bureau of Circulations) pada 10 September lepas.

"Awang Selamat dalam ruangan pojoknya yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia Ahad lepas bagi menjawab kenyataan Datuk Seri Nazri menyatakan pertumbuhan luar biasa laman sesawang, apatah lagi laman sosial seperti facebook dan twitter , ‘memburukkan’ lagi keadaan.

"Awang Selamat menyatakan itu belum mengambil kira radio, televisyen dan penggunaan telefon bimbit dalam menyalurkan berita terkini menjadikan pengguna mempunyai banyak pilihan, tidak semestinya akhbar sebagaimana dahulu.

"Awang Selamat juga menyatakan di Asia, banyak akhbar kategori serius seperti Utusan jatuh kecuali yang berkonsep populis, sensasi dan bacaan ringan. Di Malaysia, banyak akhbar termasuk Utusan turut sama mengalami penurunan edaran.

"Awang Selamat menegaskan Walaupun edaran akhbar Utusan mengalami kemerosotan, ia harus mengambil kira jumlah pembaca menerusi versi Utusan Online. Jika digabungkan antara edisi online dan cetak, jumlah pembaca Utusan adalah jauh lebih besar berbanding sedekad yang lalu," tegas Hata.

Dalam hal ini, tambahnya, NUJ melalui Setiausaha Agungnya, V Anbalagan beberapa bulan lepas telah  mengeluarkan kenyataan media meminta pihak pengurusan di MSM mengambil langkah drastik bagi mengatasi kejatuhan edaran yang sangat membimbangkan.

ADS