Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli politik veteran Sabah yang mengumumkan keluar dari Umno Datuk Karim Ghani semalam, mendedahkan terdapat usaha menjemputnya menyertai sebuah kumpulan yang mahu menghidupkan semula Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) di negeri itu.

"Kelmarin ada orang datang jumpa hendak lantik saya sebagai penasihat Usno," katanya merujuk kepada Usno yang cuba didaftarkan pada 2006 di bawah pimpinan presiden penajanya Perais Sherif Baba.

Semalam, Karim, antara orang kuat yang membawa Umno ke Sabah, mengumumkan keluar parti berkuatkuasa serta-merta kerana sudah bosan dengan kegagalan Umno memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat negeri itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Karim berkata, beliau masih belum membuat keputusan terlibat dalam mana-mana parti politik sama ada melalui Usno 2006 atau parti-parti pembangkang seperti PKR dan Parti Maju Sabah (SAPP).

"Tunggulah," kata bekas naib presiden Usno itu sambil ketawa kecil ketika ditanya sama ada beliau akan menerima lantikan daripada Usno 2006.

Sejak awal 90-an, terdapat pelbagai usaha menghidupkan semula Usno, termasuk melalui Usno Plus (1994), Usno Baru (2002), Usno 2006, Parti Usno Baru (2008) dan NGO seperti Mantan Ahli Usno (2007), Pertubuhan Bekas Ahli Usno (2008 dan Kelab Usno Sabah (2008).

Ditanya mengenai perkembangan tersebut, Karim berkata wujudnya pelbagai kumpulan itu, melambangkan penolakan terhadap Umno Sabah yang 95 peratus daripadanya didakwa daripada bekas anggota Usno.

"Mereka tidak puas hati pada Umno. Walaupun tidak boleh daftar, semangat Usno tidak boleh mati. Ia adalah hati dan jantung mereka," katanya sambil menyeru semua yang terbabit bersatu.

Karim juga menjelaskan, beliau "meletup" semalam selepas memendam perasaan tidak puas hati lebih daripada 15 tahun.

Perkara itu, antaranya disebabkan soal pengagihan kekayaan dan sumber negeri dan permintaan kuasa autonomi kepada Sabah "seperti yang dijanjikan" tidak diberikan, kata Karim.

Ditanya tentang percakapannya yang bernada pembangkang, Karim sambil ketawa bertanya kembali: "Kalau tidak ke arah itu, kenapa saya keluar dari Umno?"

Pada tahun 1990, Usno bergabung dengan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) untuk membawa Umno melebarkan sayap ke Sabah.

Tun Datu Mustapha Datu Harun (pengasas Usno) menjadi pengerusi pertama Umno Sabah setelah Usno dibubarkan untuk bergabung dengan Umno pada tahun 1991.

ADS