Jerebu paras bahaya, TPM nasihat sekolah Muar tutup

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan pihak pentadbiran sekolah di daerah Muar, Johor untuk menutup sementara sesi persekolahan berikutan keadaan jerebu yang berada pada tahap bahaya di daerah itu.

muhyiddin pc 200910 01Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata langkah itu perlu bagi mengelakkan situasi jerebu yang berlaku memberi kesan buruk kepada kesihatan pelajar.

"Kalau ia sudah sampai tahap bahaya, maka pihak pentadbiran, pengetua atau guru besar sekolah boleh mengambil langkah untuk menutup sekolah untuk sementara.

"Itu kalau sudah mencecah (bacaan IPU) 400, sudah dianggap bahaya, maka mestilah ditutup, sehingga situasinya bertambah baik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas bersama Majlis Keselamatan Negara berhubung situasi jerebu di Muar, di pejabatnya di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Masalah jerebu di daerah Muar yang berlarutan sejak beberapa hari lalu bertambah serius apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di daerah itu pada 11 pagi tadi mencecah tahap 432, iaitu dalam kategori bahaya.

azlanMuhyiddin berkata walaupun bacaan IPU menurun bawah paras 300, sekolah di daerah berkenaan masih dinasihatkan untuk tidak menjalankan sebarang aktiviti kokurikulum di luar kelas.

Dalam pada itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menghantar 10,000 unit penutup mulut dan hidung ke daerah Muar hari ini untuk diagihkan kepada penduduk terutama ke sekolah-sekolah.

Selain itu, bekalan air mineral juga akan dihantar untuk memastikan penduduk mendapat bekalan air bersih.

Muhyiddin berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Pusat bagi memantau dan mengawal keadaan jerebu selain menggerakkan semua jawatankuasa di peringkat negeri dan daerah yang terbabit.

kl haze 120805 motorcycle"Langkah yang pertama adalah untuk memaklumkan kepada penduduk daerah Muar, maklumat ini kita kena maklumkan supaya langkah-langkah untuk mengawal kesihatan ini diambil oleh penduduk yang berada di daerah Muar terutama tentang pemakaian topeng mulut," katanya.

Sementara itu, katanya Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Douglas Unggah Embas juga berhubung dengan rakan sejawatnya dari Indonesia untuk memohon kerjasama bagi mencari penyelesaian bersama berhubung perkara itu.

Menurutnya Malaysia juga bersedia untuk menyediakan sebarang bentuk bantuan termasuk bantuan logistik bagi memastikan keadaan itu tidak terus berlarutan.

"Menurut laporan yang kita terima, ia (jerebu) berpunca dari sana (Indonesia), ini bukan kita mahu buat tuduhan tapi kita mahu langkah diambil sebelum merebak dan memberi kesan lebih buruk kepada Malaysia," kata Muhyiddin.

Bilik gerakan jerebu dibuka

Sementara itu, di Muar, bilik gerakan jerebu dibuka berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sekitar kawasan itu mencatat bacaan 432 iaitu mencapai tahap berbahaya.

Pegawai Daerah Muar Mislan Karmani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Muar berkata jawatankuasa yang turut dianggotai Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kesihatan itu akan menyelaras tindakan yang perlu dibuat mengikut pelan tindakan yang ditetapkan bergantung kepada situasi semasa.

azlan"Catatan IPU pada tengah hari ialah 432. Kami akan memantau keadaan kualiti udara dan bacaan IPU setiap jam," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata orang ramai dinasihat memakai topeng penutup mulut ketika berada di luar rumah atau bangunan bagi mengelak mengalami masalah kesihatan.

Pengarah Pelajaran Johor Sufaat Tumin berkata pihaknya akur dengan nasihat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran agar pentadbiran sekolah di daerah ini menutup sementara sesi persekolahan berikutan keadaan jerebu yang berada pada tahap bahaya.

Sufaat berkata pihaknya akan menghubungi Pengetua dan Guru Besar malam ini bagi memastikan mereka mematuhi arahan Menteri Pelajaran berhubung penutupan sekolah.

"Kita juga akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Daerah, Jabatan Kesihatan, Jawatankuasa Bencana Daerah bagi memantau keadaan terkini di Muar," katanya.

STAM bermula esok

Beliau berkata ketika ini hanya ada satu pusat peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Muar tetapi keputusan sama ada untuk meneruskan peperiksaan itu esok bergantung kepada Lembaga Peperiksaan Malaysia.

haze in kuala lumpur mosqueSementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri Dr Robia Kosai berkata belum ada laporan penyakit berkaitan jerebu diterima pihaknya setakat ini.

"Keadaan masih terkawal. Kami menasihatkan orang ramai terutama yang menghidap penyakit berkaitan paru-paru seperti lelah supaya tidak keluar dari rumah ataupun memakai topeng muka bagi mengelak terdedah kepada habuk," katanya.

Robia berkata buat masa ini pihak sekolah tidak digalak mengadakan aktiviti di luar bangunan.

haze street interview 091006 trainPengerusi Persatuan Nelayan Melayu Parit Jawa Zainal Abdul Jalil pula berkata sebuah bot nelayan hampir berlanggar dengan kapal dagang apabila tidak dapat mengesan kehadiran kapal berkenaan disebabkan jarak penglihatan yang terhad.

"Kebanyakan nelayan menggunakan GPS (peranti sistem kedudukan global) bagi membolehkan mereka pulang ke pangkalan dengan selamat tetapi apa yang membimbangkan ialah kemungkinan berlaku perlanggaran dengan kapal lain berikutan jarak penglihatan pada masa ini kurang dari 50 meter.


"Sehubungan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini, pihak persatuan menasihatkan nelayan supaya tidak turun ke laut ketika jerebu teruk," katanya.
 

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.