Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno disaran tubuh majlis ulama
Diterbitkan:  Oct 23, 2010 2:53 PM
Dikemaskini: 6:54 AM

Seorang perwakilan Umno hari ini mencadangkan penubuhan Majlis Ulama Umno khusus bagi menyelaras setiap fatwa berkaitan dengan isu-isu agama yang dibangkitkan oleh parti-parti politik lain.

Wakil Perlis Fathul Bari Mat Jahya berkata anggota majlis itu yang boleh membuat penjelasan isu-isu agama selepas mengadakan perbincangan bersama, perlu dilantik dari kalangan 191 Bahagian Umno, dan turut menyertai perhimpunan agung parti setiap tahun.

"Kita tak mahu masing-masing bercakap dan mengulas. Wujud ketidakselarasan dalam mengeluarkan kenyataan, apabila ada yang kata boleh, dan ada yang kata tidak," katanya ketika membahaskan Usul Agama dan Pendidikan pada Perhimpunan Agung Umno 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Fathul Bari, yang merupakan anak kepada bekas mufti Perlis Datuk Mat Jahya Hussin berkata, institusi imam juga perlu diperkukuh dengan diwujudkan jawatan khas buat mereka dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Beliau berkata pada masa ini terdapat ramai graduan lepasan universiti-universiti Islam tersohor seperti Universiti Al-Azhar, dan adalah satu kerugian sekiranya mereka ini tidak diserap masuk ke dalam masjid untuk memperkukuhkan lagi institusi itu.

Sementara itu, Fathul Bari berkata pada masa ini jelas bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam, walaupun ia mempunyai beberapa ketidaksempurnaan.

Kerana itu katanya, transformasi agama perlu dilakukan bagi membetulkan ketidaksempurnaan tersebut.

"Transformasi agama bukan seperti transformasi teknologi atau tranformasi ekonomi. Transformasi agama bererti kita berusaha mengembalikan keadaan di mana manusia mempraktikkan agama yang sebenar, yang Allah s.w.t turunkan melalui Rasulnya Nabi Muhammad s.a.w," katanya.

--Bernama

ADS