Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes gambar Nurin diselesai luar mahkamah
Diterbitkan:  Nov 29, 2010 6:50 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Pihak-pihak yang terlibat dalam saman cuai yang dikemukakan oleh Jazimin Abdul Jalil, bapa Nurin Jazlin yang mati dibunuh, terhadap polis dan kerajaan, hari ini bersetuju menyelesaikan kes itu di luar mahkamah.

nurin jazlin jazimin kidnapped murdered child 210907 funeral Hakim Mahkamah Tinggi Harmindar Singh Dhaliwal hari ini merekodkan penyelesaian itu dalam kamarnya dengan kehadiran peguam Siti Natasha Basheer Hassan yang mewakili Jazimin, dan Peguam Kanan Persekutuan Zureen Elina Mohd Dom bagi defendan.

Sebelum ini, kedua-dua pihak melalui proses mediasi bagi menyelesaikan kes itu di luar mahkamah.

Zureen Elina memberitahu pemberita bahawa plaintif telah menarik balik saman terhadap keempat-empat defendan tanpa kebenaran memfailkannya semula, dan tidak ada perintah mengenai kos.

Ditanya mengenai terma penyelesaian, beliau berkata ia tidak boleh didedahkan.

Jazimin, 35, seorang pekerja di sebuah syarikat keselamatan, menyaman ketua Polis Negara, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Petaling Jaya dan kerajaan Malaysia yang didakwa cuai sehingga menyebabkan gambar bedah siasat anaknya disebarkan di Internet.

Pada 29 Jan lalu, Jazimin dibenar memasukkan nama Lans Koperal Amran Arifin sebagai defendan kelima selepas pernyataan pembelaan defendan lain menunjukkan beliau yang mengedarkan gambar itu.

nurin parents 200907 jazimin abdul jalil norazian bistaman Pada 22 Julai lalu, Jazimin memperoleh penghakiman engkar terhadap Amran kerana gagal memfailkan notis kehadiran selepas saman diserahkan kepadanya pada 18 Mei lalu.

Menerusi saman yang difailkan 21 Ogos 2008, Jazimin menuntut ganti rugi dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah kerana mendakwa gambar tersebut bukan untuk tatapan umum tetapi untuk siasatan kes anaknya.

Nurin Jazlin, 8, hilang pada 20 Ogos 2007 selepas dia pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di Kuala Lumpur.

Dua puluh tujuh hari kemudian, mayatnya ditemui dalam sebuah beg gimnasium di depan sebuah kedai di Jalan PJS 1/48 di Petaling Jaya dan laporan bedah siasat mendedahkan dia didera secara seksual.

- Bernama

ADS