Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Permulaan baru era bola sepak Malaysia
Diterbitkan:  Dec 30, 2010 11:25 AM
Dikemaskini: 4:54 AM

Kejayaan Malaysia merebut Piala AFF Suzuki 2010 bukan sekadar menamatkan penantian 14 tahun untuk unggul sebagai pasukan terbaik di Asia Tenggara, malah sekaligus merupakan permulaan era baru bola sepak Malaysia sejak zaman kegemilangannya 20 tahun lalu.

Ia juga membuktikan bahawa pasukan Malaysia bukan sahaja jaguh di gelanggang sendiri malah di gelanggang lawan yang dipenuhi dengan puluhan ribu penyokong.

Apa yang diharapkan para penyokong ialah pasukan bola sepak Malaysia akan terus mengekalkan prestasinya di peringkat antarabangsa dan menambahkan gelaranjuara di peringkat antarabangsa.

"Ini adalah permulaan era baru. Sebelum ini semua orang berkata bola sepak Malaysia sedang menjunam-menjunam. Sekarang apa yang dikehendaki oleh penyokong-penyokong akhirnya menjadi kenyataan," demikian reaksi spontan presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor Mohd Nasir Yunus sejurus selepas menonton perlawanan akhir kedua itu di Dewan Serbaguna Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Rabu malam.

Beliau, yang mengetuai rombongan kumpulan penyokong Malaysia ke situ telah memutuskan menonton di layar besar di kedutaan besar itu sebagai protes terhadap tempat duduk yang diperuntukkan kepada mereka oleh Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) dan atas faktor keselamatan.

Beliau berkata, para penyokong bola sepak Malaysia berkata kejayaan malam ini akan menjadi penanda aras kepada pemain-pemain muda dan menjadikannya sebagai pembakar semangat kenapa mereka juga tidak boleh berjaya sebagaimana pasukan Malaysia ini.

"Kita mengharapkan peningkatan ini berterusan, penyokong yang dah ada tu kita boleh bertahan, kalau lepas ini prestasi mereka merosot, macam mana mereka nak kekalkan sokongan ini," katanya.

Oleh itu bila ada pertandingan lain di peringkat antarabangsa selepas ini, pasukan Malaysia mesti terus mengekalkan kemenangan agar sokongan para penyokong akan berkekalan.

"Harapan penyokong, selepas ini ada Sukan SEA, buktikan bahawa kejayaan ini bukan nasib semata-mata, Sukan SEA nanti di Jakarta juga," katanya.

--Bernama

ADS