Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Limau Mandarin naik harga
Diterbitkan:  Jan 14, 2011 4:51 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Jumlah limau Mandarin, buah yang mesti ada pada sambutan Tahun Baru Cina, dijangka berkurangan dan harganya lebih tinggi pada musim perayaan Tahun Arnab kali ini.

Tidak ramai pemborong buah-buahan menyediakan bekalan limau Mandarin pada perayaan Tahun Baru Cina yang akan disambut awal Februari kerana harga yang mahal, persaingan sengit daripada pasar raya besar dan kurang permintaan daripada pengguna.

chinese new year 310108 oranges Pengerusi KL Fruit Sdn Bhd, Wong Wai Heng berkata perniagaan buah-buahan bagi Tahun Baru Cina, terutamanya limau Mandarin, masih belum rancak.

Syarikatnya yang merupakan pemborong, pembekal dan pengeluar buah-buahan tempatan dan import, kata beliau masih belum merasakan kemeriahan suasana perayaan meskipun sambutan Tahun Baru Cina akan tiba kurang daripada tiga minggu lagi.

"Harga pasaran sekotak limau mandarin tahun ini adalah RM28. Berbanding tahun lalu, harganya meningkat antara RM4 dan RM5," katanya.

Wong berkata pada musim perayaan Tahun Baru Cina, pelanggan biasanya lebih suka membeli limau Mandarin dalam kotak yang biasanya mengandungi 24 biji sekotak.

"Bekalan ini terhad dan saya perlu mengikut harga pasaran dunia," katanya.

Peniaga buah di Pasar Borong Selayang di sini, Fong Chew Lim berkata tidak seperti perayaan lepas, pengguna kali ini mungkin mengalami kesukaran membeli limau Mandarin kerana harganya yang mahal.

"Sekarang, bukan macam dulu. Semua harga sudah naik, mana orang mahu beli,"kata Fong.

Hujan yang berterusan turut menjejaskan perniagaan pada Tahun Baru Cina kali ini, katanya yang berpengalaman lebih sedekad dan mendapati jumlah pembeli limau Mandarin berkurangan saban tahun.

Antara punca adalah orang ramai lebih suka membeli dalam kuantiti kecil di pasar raya besar, kata beliau.

- Bernama

ADS