Najib hanya mahu calon yang boleh menang

   

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan menunaikan haknya sebagai pengerusi BN untuk menolak calon-calon berpotensi yang mempunyai kedudukan dalam parti, bagi memastikan hanya mereka yang boleh membawa kemenangan menjadi calon dalam pilihan raya akan datang.

    

Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dengan para pemimpin BN Sarawak bagi mendapatkan konsensus berhubung prinsip calon-calon yang boleh membawa kemenangan terutama di kalangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), dalam pilihan raya negeri yang akan datang.

    

"Ini merupakan satu prinsip yang sangat penting sebab kalau kita meletak calon, itu bererti calon itu mewakili BN dan kita perlu calon itu menang sebab kita nak membentuk kerajaan," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan konvensyen SUPP bertemakan "Berjuang Untuk Rakyat" di Pusat Konvensyen Borneo  Kuching (BCCK).

Wujud keperluan untuk memastikan bahawa calon-calon yang dipilih juga diterima rakyat di kawasan pilihan raya kerana ia merupakan satu-satunya cara bagi SUPP untuk kekal relevan dalam usaha menawan semula lapan daripada 19 kerusi yang hilang dalam pilihan raya negeri pada 2006, katanya.

Berdasarkan prinsip itu, beliau berkata semua parti komponen BN di negeri ini perlu menjalankan penilaian bukan dari sudut kedudukan calon dalam parti semata-mata tetapi berfikir lebih mendalam supaya ada opsyen atau pertimbangan yang lain.

Sebelum itu, Najib memberitahu 6,000 perwakilan yang hadir bahawa beliau mahu SUPP mengemukakan nama-nama mereka yang boleh menang dalam pilihan raya akan datang.

   

"Tolong beri saya calon-calon yang boleh menang, saya tidak peduli sama ada mereka tua, baru atau pertengahan umur asalkan mereka boleh menang."

Dalam usaha menghidupkan semula parti dan membariskan muka-muka baru, beliau berkata SUPP, yang kebanyakannya mewakili kawasan bandar, perlu untuk berhubung, memahami dan menyelami kehidupan rakyat dan melindungi kepentingan mereka.

   

Beliau berkata kepimpinan BN akan menyokong dan memberi ruang yang diperlukan kepada SUPP asalkan ia wajar dan matang dalam kerjanya tanpa mengeluarkan kenyataan yang mungkin menyinggung parti-parti komponen negeri yang lain.

   

"Cakap dengan saya atau Pengerusi BN negeri Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Kita akan menyelesaikan banyak masalah termasuk isu tanah yang mana premium tanah Sarawak merupakan yang termurah di negara ini.

   

"Tapi anda (SUPP) tidak boleh terus mendesak tanpa memberi respons. Anda mesti respons kerana kita tidak boleh terus memberi tanpa mendapat sebarang sokongan untuk BN," katanya yang jelas merujuk kepada permintaan seperti lebih banyak peruntukan pusat bagi sekolah Cina dan mubaligh, industri kecil dan sederhana dan tanah negeri bagi tujuan pertanian yang dibawa oleh Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan.

   

Dalam menangani kepelbagaian masyarakat hari ini, yang banyak menitikberatkan kepada kualiti hidup, beliau mengesyorkan supaya SUPP membentuk unit siber untuk berhubung dengan generasi muda terutama penduduk kota mengenai isu berkaitan bandar termasuk perumahan dan mengurangkan banjir.

"Ya, kita kalah dalam perang siber pada pilihan raya lalu tetapi apa yang kita buat mengenainya," katanya.

   

Beliau berkata golongan muda bukan anti-kerajaan berdasarkan respons yang diterima dalam akaun Facebooknya dengan 500,000 peminat setakat ini dan akaun twitter #tanya Najib, yang merupakan akaun kelima paling aktif dalam dunia blog mikro dalam jangka masa singkat.

   

Najib berkata, sebagai parti di mana BN juga bergantung harap bagi mendapatkan sokongan daripada komuniti bandar, SUPP perlu memahami mengenai masyarakat yang sedemikian kompleks yang tidak bergantung kepada politik pembangunan atau politik meluluskan peruntukan kerajaan seperti yang berlaku dalam pilihan raya kecil Sibu.

   

"Baru sahaja umumkan beberapa juta ringgit untuk sekolah-sekolah Cina semasa pilihan raya kecil tidak menjamin sokongan dari kaum Cina," kata merujuk kepada kekalahan BN kepada DAP di Sibu.

   

Bagaimanapun, Najib yakin bahawa SUPP melalui proses muhasabah dan transformasi politik, kerjasama dan sokongan daripada tiga parti komponen di Sarawak, akan menjadi satu kekuatan untuk diambilkira.

- Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda