Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nik Aziz kesal banyak tandas masjid di Kelantan kotor
Diterbitkan:  Feb 11, 2011 3:55 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui kebanyakan tandas masjid di negeri ini masih kotor kerana  tiada peruntukan untuk menyelenggarakannya.

Mursyidul Am PAS itu turut kesal dengan tindakan umat Islam di Kelantan yang mengabaikan aspek kebersihan di tandas masjid, kerana keadaan tersebut memberi gambaran negatif kepada pelawat sekali gus menjejaskan imej agama Islam yang mementingkan kebersihan.

"Kita akui tahap kebersihan kebanyakan tandas di masjid-masjid di negeri ini masih rendah kerana jawatankuasanya tidak mengendalikannya dengan baik disebabkan tiada peruntukan khusus untuk penyelenggaraan," katanya ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu, di Kota Bharu hari ini.

Nik Abdul Aziz seterusnya meminta jawatankuasa masjid agar menyediakan peruntukan khas bagi memastikan tandas dan bilik air di masjid-masjid di negeri itu sentiasa bersih dan memberi keselesaan kepada jemaah dan pengunjung.

Beliau turut meminta umat Islam menjimatkan peruntukan untuk sambutan seperti Maulidur Rasul dan menyumbangkan sebahagian daripadanya ke masjid bagi tujuan penyelenggaraan tandas.

"Masalahnya sekarang tiada peruntukan khusus untuk membayar gaji kakitangan untuk menjaga kebersihan tandas di masjid, menyebabkan masalah kekotoran tandas masjid tidak dapat diatasi sejak sekian lama," katanya.

Nik Abdul Aziz sebelum ini pernah meluahkan kekecewaannya berhubung tahap kesedaran masyarakat Kelantan yang masih rendah dalam menjaga kebersihan persekitaran mereka.

--Bernama

ADS