Pelatih PLKN meninggal dunia ketika bersolat

Seorang pelatih lelaki Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Temasya Rimba Templer, Rawang, dekat Kuala Lumpur, rebah dan meninggal dunia ketika menunaikan solat Zohor berjemaah, semalam.

Syed Abdul Rahman Syed Ahmad, 17, dari Kota Samarahan, Sarawak, dikejarkan ke Hospital Selayang kira-kira pukul 1.50 petang sebelum disahkan meninggal dunia pada 50 minit kemudian.

"Semakan rekod perubatan mendapati Allahyarham tidak mempunyai apa-apa masalah kesihatan dan telah disahkan oleh pegawai perubatan. Semasa dalam kem dia sentiasa cergas dan mengikuti semua aktiviti latihan," kata Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dalam satu kenyataan hari ini.
    
Kenyataan itu berkata rekod menunjukkan Allahyarham pernah menerima rawatan sekali sahaja akibat batuk.
    
Jenazah Syed Abdul Rahman telah selamat diterbangkan ke Kuching petang tadi, kata kenyataan itu.
    
Kejadian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan JLKN meminta mana-mana pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara tersebut sehingga laporan lengkap mengenai kematian pelatih berkenaan diketahui.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.