Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Datuk Ilani Isahak meninggal dunia
Diterbitkan:  Feb 24, 2011 11:05 AM
Dikemaskini: 4:51 AM

Ketua Jawatankuasa Mempromosikan Keharmonian dan Persefahaman antara Penganut Agama, Datuk Ilani Isahak meninggal dunia di Kuala Lumpur, awal pagi ini akibat barah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon mengesahkan perkara itu melalui SMS dan berkata beliau akan memberikan penghormatan terakhir di rumah allahyarham.

NONE Ilani, 57, meninggal dunia jam 6.05 pagi tadi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Jenayah allahyarham kemudiannya dibawa ke rumahnya di Pinggir Taman Tun Dr Ismail tengah hari ini dan akan disembahyangkan di Masjid Taqwa di Taman Tun Dr Ismail sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Zuhur.

Beliau pernah berkhidmat sebagai ahli parlimen Kota Bharu, Kelantan selama dua penggal bermula 1990 hingga 1999 atas tiket Parti Semangat 46.

Jawatankuasa Mempromosikan Keharmonian dan Persefahaman antara Penganut Agama yang penuh kontroversi itu ditubuhkan tahun lalu dengan Ilani dilantik sebagai ketuanya.

Illani, yang merupakan kelahiran Kelantan, meninggalkan suami Adam Camille Rustum Mohd Ibrahim, serta tiga anak lelaki dan seorang perempuan.

Aktif dalam politik melalui Umno sama ada peringkat di negeri dan  pusat serta pernah menjadi Pengerusi Biro Antarabangsa Wanita Umno Malaysia pada tahun 2004.

Sementara itu, Bernama melaporkan presiden Majlis Hindu Malaysia Datuk R Nadarajah menyifatkan pemergian Illani sebagai satu kehilangan besar kepada rakyat yang cintakan keamanan dan keharmonian dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

"Kita akan memenuhi harapannya agar matlamat jawatankuasa persefahaman dan kehermonian antara agama ini tercapai," katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

ADS