Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
1,800 anggota PAS, 154 dari PKR masuk Umno
Diterbitkan:  Feb 26, 2011 2:12 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Sejak Januari lepas, seramai 1,800 anggota dan pemimpin PAS menyertai Umno Pasir Puteh selepas berasa tertipu dengan perjuangan parti tersebut.

Ketua Umno bahagian itu Zawawi Othman berkata mereka menyerahkan borang keanggotaan menerusi empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Limbongan, Semerak, Gaal dan Selising.

"Ramai lagi anggota PAS terutama di peringkat akar umbi dalam proses menyertai Umno,"  katanya kepada pemberita selepas menerima 30 borang permohonan menyertai Umno di Kampung Wakaf Bunut, DUN Selising, di Pasir Puteh hari ini

Beliau berkata antara yang menyertai Umno itu termasuk bekas ketua Pemuda, ketua Muslimat dan anggota jawatankuasa PAS cawangan yang telah bersama PAS antara 30 hingga 40 tahun.

Kemasukan mereka secara beramai-ramai yang diluar jangkaan ini memberi harapan cerah kepada BNl untuk merampas kembali empat DUN tersebut dan kerusi Parlimen Pasir Puteh pada pilihan raya umum akan datang, katanya.

Sementara itu, bekas bendahari PAS cawangan Tualang Rendah Wan Mahmood  Wan Abas, 56, yang ditemui pemberita pada majlis penyerahan borang tersebut berkata beliau merasa tertipu dengan parti yang disertainya sejak 30 tahun lepas.

Pemimpin gagal bantu rakyat susah

Ini kerana katanya, tidak ada apa yang disumbangkan PAS kepada masyarakat sepanjang beliau memperjuangkan parti tersebut.

Bekas anggota jawatankuasa Muslimat PAS cawangan Kampung Wakaf Bunut, Saripah Mamat, 38, pula berkata beliau kecewa dengan sikap pemimpin PAS yang banyak bercakap tetapi gagal membantu rakyat yang susah.

Berbanding PAS, Umno tidak banyak bercakap tetapi sibuk membantu rakyat terutama dalam persekolahan anak-anak menerusi program seperti Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) yang diberi setiap tahun, katanya.

Sementara itu, sekumpulan 154 anggota sayap wanita PKR di Perak turut bertindak keluar parti dan menyertai Umno kerana sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti khususnya sayap itu.

    

Diketuai bekas naib ketua Wanita PKR Ipoh Barat Siti Aminah Mansor, mereka mengemukakan borang keanggotaan kepada ketua Wanita Umno Perak Datuk Rosnah Kassim.

Perjuangan PKR untuk 'kepentingan peribadi'

Dalam sidang media selepas itu, Rosnah berkata tindakan anggota Wanita PKR Ipoh Barat dan Tambun tersebut mengukuhkan lagi kenyataan yang dibuat bekas anggota PKR sebelum ini bahawa ada yang tidak kena dengan parti pembangkang terbabit.

    

Justeru kata beliau, PKR tidak wajar menuding jari kepada Umno dan BN sebagai punca semakin ramai anggota mereka bertindak keluar parti.

    

Sementara itu, Siti Aminah berkata tindakan beliau dan rakan-rakannya itu berpunca daripada rasa kecewa dengan pucuk kepimpinan PKR.

"Selain itu kami melihat dan terbukti perjuangan PKR dan kepimpinan mereka adalah untuk  kepentingan peribadi mereka dan bukan untuk kebaikan kami dan rakyat jelata," katanya.

    

Ini kerana kata beliau, perebutan kuasa menyebabkan pucuk pimpinan lupa anggota di akar umbi yang selama ini bertungkus lumus menghidupkan PKR sebelum tsunami politik pada 2008.

    

Turut menyerahkan borang keanggotaan Umno hari ini ialah 34 wanita yang tidak pernah menyertai sebarang parti politik sebelum ini.

    

- Bernama

ADS