Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pairin mahu bentuk pemimpin jadi agenda PBS
Diterbitkan:  Mar 6, 2011 9:41 AM
Dikemaskini: 1:43 AM

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mahu parti itu menjadikan pembentukan pemimpin di kalangan anggotanya, terutama generasi muda, sebagai sebahagian daripada agenda parti bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti itu di masa akan datang.

Beliau berkata perjuangan parti perlu diteruskan dengan idea baru sesuai dengan peredaran semasa dan tidak seharusnya berdasarkan sejarah lampau dan cara kepimpinan lama.

    

"Di samping kita merenung dan memberi sanjungan kepada pemimpin parti yang ada sekarang, jangan lupa persediaan kita menghadapi masa-masa yang akan datang, iaitu bukan sahaja untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya dan meningkatkan kekuatan jentera kita, tetapi bersiap sedia untuk menentukan pemimpin-pemimpin

masa depan.

"Saya tekankan perkara ini kerana kalau kita tidak jadikannya sebagai agenda kita, kita akan meneruskan cerita yang sudah menjadi sejarah. Kita tidak boleh bergantung sahaja kepada dorongan atau sumbangan yang dilakukan sebelum ini," katanya di majlis makan malam sempena ulang tahun ke-26 PBS di Kota Kinabalu.

    

Pairin, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata demikian setelah berterima kasih atas sokongan dan penghargaan anggota parti itu terhadap perjuangannya sebagai presiden sejak parti itu ditubuhkan.

Kenyataannya supaya PBS membuat persediaan menghasilkan pemimpin masa depan bukan bererti beliau sudah bersedia untuk berundur daripada kepimpinan parti.

Beliau menjelaskan perjuangan parti tidak pernah berhenti dan memerlukan pemimpin yang bersedia memikul tanggungjawab mengemudi parti pada bila-bila masa.

    

"Apa yang ingin saya katakan ialah kita tidak boleh berhenti berjuang sehinggalah kita bersara atau sehinggalah kita tiada lagi, sudah meninggal atau pergi ke tempat lain.

    

"Kita mesti praktikal. Ini penting agar jentera kita daripada akar umbi hingga ke peringkat cawangan dan bahagian berjuang selari dengan perjuangan parti.

    

"Kalau tidak, tentu sekali jentera yang kita harapkan tidak akan mencapai objektif dan aspirasi yang sama-sama kita tentukan sejak dahulu lagi," katanya.

- Bernama

ADS