Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Majlis fatwa digesa kaji hukum haram poco-poco
Diterbitkan:  Apr 1, 2011 2:48 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

Majlis Fatwa Kebangsaan perlu membuat kajian berhubung tarian senaman poco-poco bagi menentukan kesahihan dari segi hukumnya sebelum membuat sebarang keputusan, kata Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Katanya oleh kerana isu tarian itu merupakan isu nasional, ia perlu dibincangkan di peringkat pusat supaya ia dapat diselaraskan di semua negeri.

"Majlis Fatwa Kebangsaan perlu membincangkan isu ini di peringkat muzakarah peringkat pusat bagi menentukan dari segi hukumnya," katanya kepada Bernama di Kota Bharu hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Jawatankuasa Fatwa Perak yang mengharamkan tarian itu seperti yang diumumkan Muftinya, Tan Sri Harussani Zakaria baru-baru ini.

Dalam kenyataannya, Harussani dilaporkan berkata tarian tersebut diharamkan kerana ia mempunyai unsur kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh.

NONE Mohamad Shukri berkata, isu itu tidak berbangkit di Kelantan dan atas sebab itu pihak berkuasa majlis fatwa negeri tidak membincangkan perkara tersebut.

"Kita hanya membincangkan apa-apa isu yang berkaitan dalam negeri seperti isu ajaran sesat membabitkan 'Ayah Pin' kita membincangkannya di peringkat negeri kerana ia melibatkan penyebaran di negeri ini," katanya.

Jawatankuasa fatwa negeri hanya boleh menerima pakai apa-apa fatwa yang diputuskan di peringkat Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan jika membabitkan isu nasional untuk diselaraskan, katanya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan umat Islam supaya tidak membincangkan isu itu sehingga menimbulkan perselisihan pendapat dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat keputusan.

"Ini kerana hanya akan menimbulkan perselisihan pendapat dan sekali gus boleh memecah-belahkan perpaduan semasa mereka," katanya.

- Bernama

ADS