Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Berang tak dapat duit, anak bakar rumah ibu
Diterbitkan:  Apr 11, 2011 7:14 PM
Dikemaskini: 11:15 AM

Akibat terlalu marah kerana tidak mendapat wang yang diminta daripada ibunya, seorang lelaki berusia 28 tahun membakar rumah mereka di Kampung Alor Madi di Alor Star tengah malam tadi.

    

Kejadian itu dikatakan berlaku apabila lelaki itu meminta RM200 daripada ibunya petang semalam tetapi ibunya tidak memberi menyebabkan dia berang dan bertindak di luar kawalan.

    

Abang lelaki itu berkata adiknya, yang merupakan kakitangan kerajaan, menunjukkan sikap pelik sejak sebulan lalu dan pernah mengugut membakar rumah yang didiami ibunya itu.

    

"Kira-kira 6 petang semalam, dia minta duit dari ibu tetapi ibu tidak bagi menyebabkan dia marah dan mengurung diri dalam rumah. Saya bawa ibu ke rumah saya di Kepala Batas kerana risau dia melakukan sesuatu kepada ibu.

    

"Semasa datang semula ke rumah ibu semalam, saya cuba memujuknya tetapi tidak berhasil, akhirnya saya menghubungi polis bagi membantu memujuk adik," katanya kepada pemberita hari ini.

    

Katanya beliau dan anggota polis berjaya memecahkan pintu rumah berkenaan dan cuba masuk ke dalam rumah sebelum melihat adiknya memegang parang.

"Semasa pintu dipecahkan, saya terbau gas dan atas nasihat anggota polis, saya tidak masuk ke dalam rumah. Kemudian adik saya lari ke tingkat atas dan memanjat bumbung rumah.

    

"Dari atas bumbung, dia menjerit suruh saya masuk rumah tetapi saya tidak masuk dan tiba-tiba dia terus nyalakan api sebelum terjun dari bumbung dan lari menghilangkan diri hingga sekarang," katanya.

    

Beliau berkata bahawa dua hari sebelum adiknya bertunang awal bulan lepas, dia telah membakar semua pakaiannya termasuk uniform kerjanya.

"Jadi kami membatalkan dulu majlis pertunangan itu, mungkin disebabkan perkara itu, dia bertindak sedemikian," katanya.

    

Anggota-anggota bomba mengambil masa hampir 20 minit untuk mengawal kebakaran.

    

- Bernama

ADS