Pejuang, Wawasan sasar lebih banyak kerusi PRU16 dengan formula 'penyandang' PN-BN
Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir mahu BN dan PN menggunakan prinsip penyandang sebagai asas rundingan kerusi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), dengan keutamaan diberikan kepada gabungan yang sudah memegang kerusi berkenaan.
Mukhriz berkata rundingan kerusi Parlimen belum bermula, namun dia berharap tolak ansur dalam pembahagian kerusi pilihan raya negeri (PRN) dapat diteruskan pada PRU16.
“You (BN) ambil DUN (negeri) sebab incumbency, kita (PN) ambil Parlimen incumbency dan kita boleh kongsi dengan sahabat-sahabat yang lain,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Agung Tahunan Pejuang kali keempat di Shah Alam hari ini.
Dalam PRN Melaka semalam, BN bertanding di 23 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN bertanding di lima kerusi. BN menang 21 kerusi dan PN tiga, sementara PH memperoleh baki empat kerusi.
Di peringkat Parlimen, BN tidak memenangi sebarang kerusi di Melaka pada PRU15. PN menang di Masjid Tanah, Tangga Batu dan Jasin, manakala PH memenangi Alor Gajah, Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka.
Wawasan mahu lebih banyak peluang
Naib Presiden Wawasan, Rahim Thamby Chik berkata prinsip penyandang menyaksikan PN mendapat baki kerusi selepas agihan kepada BN dalam PRN Melaka.
Bekas ketua menteri Melaka itu berharap parti komponen PN mendapat lebih banyak peluang untuk bertanding di kawasan Parlimen yang tidak mempunyai penyandang daripada BN.
“Jadi komponen-komponen lain mungkin ada peluang yang lebih baik untuk tunjukkan bakat kita,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/06/77d66e329dacfd14b8ff0e5c1aa1b0f5.jpg)
Wawasan mempunyai enam ahli Parlimen, termasuk presidennya Hamzah Zainudin, yang juga ketua pembangkang.
Mukhriz berkata prinsip penyandang wajar digunakan secara konsisten di seluruh negara, dengan ruang untuk penyesuaian.
Di Melaka, misalnya, BN memindahkan penyandang Paya Rumput, Rais Yasin, ke Sungai Udang, kerusi yang dimenangi PN pada 2021. BN menang di Sungai Udang semalam, manakala PN menang di Paya Rumput.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini memberi isyarat bahawa kerjasama BN-PN boleh diperluas ke peringkat persekutuan, manakala Naib Presiden Umno Khaled Nordin menyifatkan pakatan di Melaka sebagai model yang boleh digunakan pada PRU16.
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi pada 12 Nov berkata gabungan itu kekal komited menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim meskipun BN dan PH berdepan dalam beberapa PRN.
Pejuang mahu agihan ambil kira kekuatan komponen
Pejuang menyertai PN pada Jun dan mendapat kerusi untuk ditandingi dalam PRN Johor. Parti itu bagaimanapun tidak menurunkan calon di Negeri Sembilan dan Melaka.
Mukhriz berkata keutamaan kepada penyandang mengehadkan pilihan Pejuang di kedua-dua negeri. Di Negeri Sembilan, parti itu pada mulanya menyasarkan Gemas, namun kerusi berkenaan diperuntukkan kepada Wawasan selepas penyandangnya, Ridzuan Ahmad, beralih daripada Bersatu. Ridzuan kemudian mempertahankan kerusi itu.
Pejuang turut berminat untuk bertanding di Gemencheh, namun kerusi bersebelahan Gemas itu ditandingi calon Umno di bawah persetujuan BN-PN.
Mukhriz berkata Pejuang menerima keputusan rundingan dan membantu kempen calon kedua-dua gabungan. Dia berharap kerjasama itu diambil kira dalam agihan kerusi akan datang, termasuk bagi Pejuang, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Dalam ucapan dasarnya, Mukhriz menggesa supaya semua parti anggota PN diberi ruang dan peluang yang adil untuk membuat persediaan menghadapi PRU16.
“Pembahagian kawasan dan strategi pilihan raya perlu mengambil kira kekuatan, keupayaan serta sumbangan setiap parti,” katanya.
Dia turut mencadangkan supaya PN melantik pengerusi di setiap negeri dengan mandat untuk menyelaras strategi pilihan raya dan memperkukuh hubungan antara parti komponen.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/image9_952292.jpeg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.