Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penganut Kristian Sri Hartamas dapat gereja baru
Diterbitkan:  Apr 12, 2011 7:15 PM
Dikemaskini: 11:17 AM

Penantian selama 12 tahun oleh penganut Kristian di Sri Hartamas, Kuala Lumpur bagi mendapatkan sebidang tanah untuk membina sebuah gereja baru tidak sia-sia apabila Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar meluluskan kawasan seluas 0.49hektar untuk tujuan itu.

NONE Proses kelulusan tanah itu mengambil jangka masa panjang kerana sebelum ini tanah berkenaan dimiliki sebuah syarikat pemaju swasta tetapi diambil alih oleh kementerian beberapa tahun lalu, kata Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Tanah kosong yang bakal didirikan dengan gereja itu terletak bersebelahan Lebuh Raya Jalan Duta-Sungai Buluh.

"Kerajaan berharap gereja yang bakal dibina dapat menampung keperluan ibadat bagi penganut Kristian di sekitar Sri Hartamas dengan mengambil kira pertambahan penganut Kristian di kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ”surat kelulusan perizaban tanah kerajaan” kepada Penasihat Gereja Lutheran Malaysia dan Singapura, Dr Philip Lok di Kuala Lumpur hari ini.

Berdasarkan rekod Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL), sejumlah 66 lot tanah yang mewakili 66 buah gereja telah digunakan untuk tujuan gereja bagi penganut Kristian di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Jumlah itu tidak termasuk gereja yang akan dibina di Sri Hartamas nanti.

- Bernama

ADS