Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
S'wak: SPR jangka 75 peratus keluar mengundi
Diterbitkan:  Apr 16, 2011 11:38 AM
Dikemaskini: 4:50 AM

Rakyat Sarawak keluar mengundi pada pilihan raya negeri Sarawak kali ke-10 seawal 8 pagi di 1,748 pusat mengundi yang dibuka di kawasan sekolah, balai raya dan juga rumah panjang di kawasan pedalaman.

Tinjauan di sekitar bandar raya Kuching mendapati pengundi mula beratur di pusat-pusat mengundi walaupun hujan renyai sejak awal pagi.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan pada sebelah petang di beberapa tempat.

Di Sibu dan Miri, cuaca pada sebelah pagi adalah cerah dan pengundi keluar secara beransur-ansur dan suasana dilaporkan tenang.

Pusat-pusat mengundi ditutup secara peringkat seawal 9 pagi di pedalaman sebelum proses pengundian berakhir pukul 5 petang.

Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mengundi di Dewan Merpati Jepang, Satok di Kuching.

Abang Johari mempertahankan kerusi DUN Satok manakala Adenan pula mempertahankan kerusi DUN Tanjung Datu.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang mempertahankan kerusi DUN Balingian juga dijadual mengundi di pusat yang sama.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka peratusan keluar mengundi lebih tinggi, iaitu antara 65 dan 75 peratus, berbanding 63.2 peratus pada 2006.

- Bernama

ADS