Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shafie minta Umno selesaikan masalah dalaman
Diterbitkan:  May 2, 2011 9:54 PM
Dikemaskini: 1:59 PM

Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal mengingatkan anggota parti itu agar menyelesaikan masalah dalaman dengan baik bagi memastikan parti berkenan mendapat sokongan padu pada pilihan raya umum ke-13.

NONE Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata jika dibiarkan, masalah dalaman parti boleh menjejaskan prestasi BN pada pilihan raya nanti.

"Bimbang saya bahawa yang mengalahkan kita di Manik Urai bukan kerana PAS, yang mengalahkan kita di Kedah bukan kerana PKR, yang mengurangkan kerusi kita di Perak bukan kerana kuatnya PAS atau PKR, begitu juga di Kelantan.

"Tetapi masalah dalaman yang ada di dalam parti itu, sehingga mereka sanggup tidak turun mengundi untuk memberi sokongan kepada parti yang mereka sertai seperti UMNO," katanya semasa merasmikan mesyuarat Umno bahagian Kepong hari ini.

Turut hadir Ketua Pergerakan Wanita Umno yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Shafie berkata anggota Umno juga perlu memberi komitmen sepenuhnya kepada parti tanpa mengira peruntukan yang diberikan kepada mereka.

NONE Beliau berkata walaupun BN memenangi beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, termasuk kemenangan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 16 April lepas, anggota parti tidak harusnya mengambil mudah perkara itu.

"Kita tidak harus lalai dalam perjuangan kita, kerana dalam politik ini ada ayunannya," katanya.

Sementara itu, pada sidang akhbar, Shafie berkata beliau menyokong penuh usul Shahrizat yang mahu kuota calon wanita dinaikkan kepada 30 peratus pada pilihan raya umum akan datang berbanding 20 peratus sebelum ini.

"Saya yakin kita boleh memberi ruang kepada Pergerakan Wanita, tetapi yang penting bagi kita ialah kalaupun ada dari segi bilangan kerusi dan bilangan jawatan, mereka mesti berupaya menunaikan tanggungjawab, kalau untuk pilihan raya, dia mesti calon yang mampu menang," katanya.

- Bernama

ADS