Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: BERSIH himpunan haram, tak didukungi rakyat
Diterbitkan:  Jun 16, 2011 5:15 PM
Dikemaskini: 9:30 AM

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mahu penganjur dan individu yang berhasrat menyertai perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) supaya berfikir semasak-masaknya kesan perhimpunan itu kepada negara dan rakyat, sekiranya ia diadakan.

NONE Beliau berkata, rakyat bimbang perhimpunan itu boleh menimbulkan satu keadaan ketidaktenteraman kerana akan berlaku pertembungan dua pihak yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan penganjuran perhimpunan itu.

"Polis terima banyak aduan dan ini boleh mencetuskan keadaan yang tidak selamat bagi negara, polis takkan keluarkan permit maka ia satu pergerakan haram dan menyalahi undang-undang.

"Perhimpunan itu pastinya tidak akan didukung oleh seluruh rakyat, mungkin sekelompok sahaja atau ada pihak lain yang menumpang," katanya ketika diminta mengulas mengenai rancangan untuk mengadakan perhimpunan itu buat kali kedua pada 9 Julai ini.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Denggi ASEAN 2011 dan pelancaran semula Komunikasi untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI) peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur, Muhyiddin berkata pihak terbabit tidak mengambil kira soal keamanan negara yang dicapai kini tetapi hanya memikirkan soal kepentingan politik dan puak mereka sahaja.

bersih rally 271207 03 "Pelbagai tuduhan dan isu akan timbul, pelbagai perkara yang tidak menyenangkan akan dibangkitkan, negara yang aman nak kita kekalkan dalam keadaan yang baik, ekonomi sudah berkembang, tetapi mereka tidak ambil kira soal itu," katanya.

Perhimpunan kali kedua itu dirancang untuk diadakan pada 9 Julai ini di Kuala Lumpur termasuk di Sabah dan Sarawak bagi menuntut pilihan raya lebih bersih dan adil termasuk pembersihan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan akses media bebas dan adil.

Pada 2007, BERSIH yang menggunakan slogan "Gelombang Kuning", menganjurkan perhimpunan aman bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di Jalan Tuanku Syed Putra, atas alasan sama.

Ketika diminta mengulas mengenai tindakan nelayan dan pemilik bot yang melancarkan mogok apabila tidak ke laut sebagai bantahan terhadap penarikan subsidi super diesel berkuatkuasa bulan ini, Muhyiddin berkata mereka sepatutnya tidak bertindak terburu-buru.

NONE "Ini kerana ia boleh menjejaskan penangkapan ikan yang boleh memberi kesan kepada bekalan ikan negara. Tentunya kesan panjang ia tidak baik, apa yang boleh kita bantu, kita akan bantu mereka," katanya.

Muhyiddin berkata, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, sudah pun meneliti perkara itu dan ia akan dibawa ke Kabinet.

- Bernama

ADS