Pada hujung minggu cuti Deepavali, beberapa media utama melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) Nvidia, Jensen Huang menjalin hubungan sulit dengan seorang wanita yang dituduh bekerja untuk perisikan China.

Selain laporan mengenai hubungan sulit dan dakwaan pengintipan itu, wanita berkenaan Alice Huang didakwa mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat yang beroperasi di Singapura dan Malaysia. Alice tiada pertalian keluarga dengan Jensen. Syarikat itu disyaki memintas sekatan AS terhadap eksport cip kecerdasan buatan (AI) ke China.

Dakwaan yang masih disiasat pihak berkuasa AS itu boleh menyukarkan usaha Putrajaya memperbaiki hubungan perdagangan dengan Washington ketika AS masih terlibat dalam perang dagang dengan China. Pada Ogos, AS meletakkan Malaysia dalam kategori risiko Tahap 2 (Tier 2) berhubung penghantaran semula secara haram barangan berkaitan China.

Apa yang berlaku?

Pada 29 Okt, New York Times (NYT) melaporkan hubungan rapat antara Jensen dan Alice, serta memetik pegawai AS yang mengesyaki Alice bekerja untuk perisikan China.

Pada 7 Nov, Financial Times pula melaporkan kedua-duanya menjalin hubungan romantik, memetik sumber yang mengetahui kandungan memorandum perisikan AS.

Nvidia pada mulanya menyifatkan interaksi antara Jensen dan Alice sebagai “bukan luar biasa”. Jurucakap Nvidia juga berkata “tiada sebarang maklumat berkaitan keselamatan negara” disampaikan kepada pelanggan seperti syarikat Megaspeed.

Bagaimanapun, Jensen mengaku curang kepada isterinya melalui memo kepada kakitangan Nvidia yang disiarkan pada 8 Nov. Dia tidak menamakan Alice dalam memo itu.

Gambar fail, President dan CEO NVIDIA Jensen Huang bersama isterinya Lori.

Pada hari sama, lembaga pengarah Nvidia mengumumkan siasatan bebas berhubung laporan Jensen menjadi sasaran usaha perisikan asing. Lembaga itu berkata setakat itu tiada sebab untuk percaya keselamatan negara atau rahsia dagangan Nvidia terjejas.

Jurucakap Kementerian Luar China Guo Jiakun pada 9 Nov menolak dakwaan perisikan itu sebagai tidak berasas. Alice tidak membalas permintaan ulasan NYT ketika laporan awalnya diterbitkan. Reuters pula berkata pihaknya tidak dapat menjejaki Alice untuk meminta ulasan.

Apa kaitannya dengan Malaysia?

Dakwaan yang membabitkan Malaysia tertumpu pada Megaspeed dan Speedmatrix Sdn Bhd, anak syarikat milik penuhnya di Malaysia.

Alice dikatakan pernah menjadi eksekutif kanan Megaspeed, yang asalnya anak syarikat sebuah firma permainan video China sebelum dijenamakan semula. Dia juga dikatakan masih mempunyai kaitan dengan syarikat itu selepas meletak jawatan pada akhir 2023.

Megaspeed menjadi rakan kongsi rasmi Nvidia dalam pengkomputeran awan pada 2023. Dari Jun 2024 hingga Feb tahun ini, syarikat itu dilaporkan membeli cip AI Nvidia bernilai AS$4.8 bilion. Pembelian itu bermula hanya beberapa minggu selepas gambar pertama Jensen bersama Alice diambil.

Menurut NYT, cip itu dieksport ke pusat data di Malaysia dan Indonesia yang dipercayai menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan di China. Penghantaran itu mungkin melanggar sekatan perdagangan AS jika dibuat atas arahan sebuah syarikat China.

Dalam laporan pada Okt tahun lalu, NYT turut melaporkan seorang pegawai perdagangan AS menemui beberapa kotak cip AI Nvidia yang belum dibuka ketika melawat pusat data kendalian Speedmatrix, anak syarikat Megaspeed.

Laporan itu memetik pegawai yang mengetahui tentang pemeriksaan berkenaan sebagai berkata cip itu disyaki akan dihantar semula ke China. Bukti muktamad belum diperoleh ketika itu, menurut laporan tersebut.

NYT turut melaporkan kebimbangan itu disampaikan kepada pihak berkuasa Singapura dan Malaysia.

Dalam maklum balas kepada NYT untuk laporan tahun lalu itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata Malaysia sudah memperketat pengawasan eksport cip AI dan meneruskan perbincangan dengan AS mengenai kawalan berkenaan.

Dalam kenyataan pada Dis lalu bagi menjawab laporan siasatan serupa oleh Bloomberg mengenai operasinya, Megaspeed berkata syarikat itu sudah diperiksa oleh seorang pegawai AS, MITI dan Nvidia. Menurut Megaspeed, pemeriksaan itu tidak menemukan bukti syarikat tersebut terbabit dalam urus niaga cip secara haram atau kegiatan lain yang menyalahi undang-undang.

Apa perkembangan seterusnya?

NYT memetik pegawai AS, melaporkan siasatan Jabatan Perdagangan AS terhadap Megaspeed dirujuk kepada Jabatan Kehakiman (DOJ) untuk siasatan lanjut.

Ditanya mengenai kes Jensen pada 9 Nov, Presiden AS Donald Trump berkata Biro Siasatan Persekutuan (FBI) sedang meneliti perkara berkaitan. Dia tidak memperincikan skopnya.

Sementara itu, ketika menjawab pertanyaan Malaysiakini hari ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani berkata setakat ini kementeriannya belum menerima sebarang bukti yang menunjukkan Speedmatrix melanggar undang-undang Malaysia.

Oleh itu, jelasnya kementerian belum menjalankan sebarang siasatan terhadap syarikat itu.

“Namun, pendirian kementerian jelas. Malaysia tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggunakan negara ini sebagai saluran untuk memintas kawalan eksport. Kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat yang didapati melanggar undang-undang Malaysia.

“Jika kami menerima bukti yang boleh dipercayai atau permintaan rasmi daripada mana-mana pihak berkuasa asing, kami akan menilainya dan mengambil tindakan mengikut undang-undang serta proses negara kami,” kata Johari kepada Malaysiakini.

[Baca berita asal]