Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Walau agak kecewa dengan keputusan mahkamah hari ini, Tan Sri Rahim Thamby Chik berkata beliau telah berjaya mencapai tujuannnya dalam "mendedahkan kemaksiatan" yang didakwa dilakukan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas ketua menteri Melaka itu juga mendakwa, individu yang ditunjukkan dalam bahan kes perbicaraan hari ini juga tidak boleh lagi dikatakan "mirip Anwar."

datuk t charged 240611 rahim thamby chik "Hari ini dalam mahkamah kita melihat perkara sebenarnya didedahkan

"Kita tidak dapat menerima lagi apa-apa penafian daripada mana-mana pihak.

"Kita sekarang yakin Anwar Ibrahim terlibat dalam video ini dan melakukan kemaksiatan," katanya dalam sidang media selepas perbicaraan kes berkenaan hari ini.

Kesahihan berhubung identiti individu lelaki dalam video berkenaan bagaimanapun tidak diputuskan dalam mahkamah hari ini.

Ia bagaimanapun dinyatakan dalam fakta kes pendakwaan yang menyebut, pelaku seks lelaki dalam rakaman video berkenaan adalah menyerupai Anwar.

 

Rahim yang mengaku salah bersubahat menayangkan rakaman hubungan seks itu juga berkata, beliau sanggup berbuat demikian demi mendedahkan kes didakwa melibatkan Anwar dan "mempertahankan kepentingan dan keselamatan negara."

"Kita korbankan diri kita tiga orang untuk memastikan kita mencapai matlamat ini. Supaya rakyat dapat menimbang dan menghakimi.

"Pemimpin yang korup dari segi moral akan terdedah kepada perkara-perkara korup yang lain.

"Sebab itu kita berpendapat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melakukan hipokrisi ini tidak layak memimpin," kata Rahim lagi yang disambut sorakan oleh kira-kira 100 orang penyokongnya di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Terdahulu, Rahim bersama dua lagi tertuduh, ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah serta bekas bendahari PERKASA Datuk Shuib Lazim didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini – tiga bulan selepas mereka menayangkan video tersebut di sebuah hotel kepada sekumpulan wartawan.

Shazryl Eskay dan Shuib mengaku salah atas tuduhan berkenaan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 bawah undang-undang sama.

Rahim didenda RM1,000 manakala Shazryl Eskay dan Shuib pula masing-masing didenda RM3,000 dan RM1,500.

ADS