Setiap seorang exco yang baru dilantik di Negeri Sembilan dijangka memegang sekurang-kurangnya dua portfolio bagi memastikan kelancaran pentadbiran negeri.

Menteri Besar Ismail Lasim berkata pembahagian portfolio masih diteliti dan akan diumumkan dalam tempoh sehari dua ini dengan beberapa portfolio berkemungkinan digabungkan berdasarkan kesesuaian serta kaitan bidang tugas.

“Buat ketika ini, belum ada portfolio yang ditetapkan dan saya mohon sehari dualah untuk menetapkan portfolio kerana jumlah exco diperkenankan setakat hari ini ialah enam orang.

“Kita ada banyak portfolio dan mungkin saya terpaksa menggabungkan beberapa portfolio. Sebab itulah ambil masa sikit… untuk teliti betul-betul mengikut kesesuaian.

“Kalau tak berkaitan antara satu sama lain pun susah juga exco nak bawa (jalankan tugas), kalau pun dua (portfolio), tetapi ada hubung kaitnya, jadi mudah mereka nak laksanakan,” katanya.

Ismail berkata demikian kepada pemberita selepas istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah serta penyampaian watikah pelantikan Exco Negeri Sembilan di Istana Seri Menanti, Seremban hari ini.

Terdahulu, enam Adun mengangkat sumpah sebagai exco yang baru di hadapan Yang di-Ppertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Mereka ialah Suhaimi Aini (Kota), Mohd Zaidy Abdul Kadir (Jeram Padang), Ridzuan Ahmad (Gemas), Abdul Fatah Zakaria (Bagan Pinang), Mohamad Qayyum Abd Jalil (Senaling) dan Koh Kim Swee (Repah).

Pelantikan tersebut menyaksikan perubahan dalam komposisi pentadbiran kerajaan negeri berbanding 10 exco sebelum ini susulan perkembangan politik yang berlaku di Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Ismail berkata kerajaan negeri akan memberikan tumpuan penuh untuk menyelesaikan segala kertas kerja yang tertunggak selepas hampir dua bulan tiada mesyuarat exco diadakan.

“Sebahagian besar kertas tertangguh ini melibatkan kepentingan rakyat.

“Seawal minggu depan, saya tetapkan mesyuarat exco diadakan pada Selasa dan Khamis dan mungkin lebih kerap lagi supaya dapat menyelesaikan tunggakan yang berlaku,” katanya sambil menambah mempertimbangkan wakil wanita dalam pentadbiran negeri.

Dia turut memaklumkan mesyuarat exco akan datang akan mengesahkan belanjawan negeri sebelum dipersembahkan kepada Tuanku Muhriz selain mendapatkan perkenan tarikh persidangan DUN yang dijangka berlangsung pada Dis ini.

Pada PRN ke-16 lalu, BN memenangi 18 kerusi, manakala PN memperoleh tujuh kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi DUN.

- Bernama