BERSIH: Lebih 1,000 laporan polis dibuat

   

Polis telah menerima sebanyak 1,248 laporan daripada pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara membantah perhimpunan haram yang akan dianjurkan oleh beberapa kumpulan di ibu negara pada 9 Julai ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata laporan yang diterima itu membuktikan orang ramai mahu polis bertindak tegas menghalang perhimpunan berkenaan kerana mereka bimbang keamanan dan ketenteraman awam terjejas.

Jumlah laporan berkenaan diterima sehingga petang semalam, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ipoh hari ini.

Program itu turut dihadiri Ketua Polis Perak Datuk Shukri Dahalan dan Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye.

Khalid berkata terdapat beberapa kumpulan dikatakan sedang bersiap sedia berhimpun pada tarikh berkenaan.

Beliau menasihati kumpulan-kumpulan yang berlainan ideologi dan pandangan itu dinasihati membatalkan hasrat mereka demi keamanan negara.

Beliau berkata polis kini sedang menyiasat mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis iaitu percubaan untuk mengadakan perhimpunan haram.

Khalid berkata polis telah meminta penganjur daripada kumpulan-kumpulan berlainan itu datang ke Bukit Aman minggu depan untuk diambil keterangan dan maklumat.

"Jika mereka gagal hadir, polis akan mengeluarkan waran tangkap," katanya.

Sementara itu, sebanyak 101 laporan polis dibuat di Balai Polis Kampung Rapat di sini bagi membantah perhimpunan berkenaan.

Laporan yang dipercayai paling banyak dibuat secara serentak itu diketuai oleh Ketua Penerangan Wanita Umno Datuk Hamidah Osman.

Hamidah berkata laporan berkenaan dibuat oleh wakil daripada Wanita Umno Bahagian Gopeng serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan.

--Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda