Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Utusan teruskan agenda momok BERSIH
Diterbitkan:  Jun 28, 2011 12:25 PM
Dikemaskini: 11:37 AM

Perhimpunan BERSIH 2.0 terus dimomok melalui laporan akhbar Utusan Malaysia yang antara lain mengaitkan badan pemantau pilihan raya itu dengan gerakan bersenjata komunis Filipina dan NGO prodemokrasi Amerika Syarikat.

NONE Dengan memetik sumber, akhbar berkenaan mendakwa "ancaman terhadap keselamatan negara" kini "berada pada tahap membimbangkan" memandangkan perhimpunan BERSIH 2.0 " diresapi "gerakan komunis".

Utusan mengaitkan demikian dengan menamakan dua orang individu warga asing yang ditahan bersama sekumpulan ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) Sabtu lalu.

PSM sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa program 'Udahlah tu... Bersaralah' pada 25 Jun itu tidak berkaitan dengan BERSIH 2.0

Laporan Utusan hari ini bagaimanapun terus mendakwa bahawa BERSIH yang dikepalai PSM "bersekongkol" dengan "ejen asing" berkenaan bagi "menyebarkan propaganda jahat bagi menggulingkan kerajaan."

NONE Seorang daripada individu yang dinamakan dalam laporan bertajuk 'Keselamatan negara diancam' itu ialah seorang pemimpin kesatuan sekerja warga Filipina, Romeo Castillo, 59.

Utusan melaporkan, Castillo "mempunyai kaitan dengan Parti Komunis Filipina yang banyak membunuh rakyat negara itu melalui gerakan bersenjata sehingga disenarai sebagai gerakan pengganas."

Percanggahan laporan

Lelaki berkenaan ditahan bersama seorang wanita warga Korea, Song Min-young, dalam satu kejadian di hadapan sebuah kolej di daerah Ledang, Johor.

Difahamkan, Castillo telahpun meninggalkan negara ini pada Ahad lalu.

NONE Song ( kiri ), 24, didakwa Utusan sebagai seorang individu yang ditaja oleh NGO pro-demokrasi Institut Demokratik Nasional – organisasi yang didakwa dinaungi "sekutu" Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Laporan berkenaan bagaimanapun dipertikaikan oleh setiausaha agung Pusat kajian pilihan raya National Institute for Democracy and Electoral Integrity (NIEI), Amin Iskandar.

Amin berkata, berkata, laporan berkenaan menunjukkan percanggahan kerana Utusan menimbulkan isu komunis dan tajaan Amerika Syarikat pada masa yang sama.

"Pertama, (Utusan) kaitkan dengan komunis, kedua dia kaitkan dengan Amerika Syarikat.

"Tapi Korea Selatan merupakan negara pro-kapitalis dan kenapa Amerika hendak taja komunis pula?

NONE "NIEI langsung tidak ada kena mengena dengan Institut Demokrasi Nasional. Maklumat itu memang salah," kata Amin ( kiri ) ketika ditemui Malaysiakini petang ini.

Song merupakan seorang pelatih NIEI yang kini masih ditahan di lokap Balai Polis Bukit Jalil.

Dalam pada itu, jumlah individu yang ditahan berhubung penganjuran perhimpunan BERSIH 2.0 dilaporkan mencecah 81 orang apabila polis melancarkan gerakan di seluruh negara bermula Rabu lalu.

BERSIH setakat ini tegas dengan pendiriannya untuk mengadakan perhimpunan pada 9 Julai walau berdepan tindakan berkenaan.

BERSIH juga berdepan kemungkinan berlakunya pertembungan dengan dua lagi kumpulan yang akan turut berdemo pada hari berkenaan – PERKASA dan juga kumpulan PATRIOT dari Pemuda Umno.

ADS