Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR jangka darurat diguna halang himpunan BERSIH

 

PKR Selangor menjangka kerajaan mungkin menguatkuasakan undang-undang darurat bagi menghalang perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai.

Ketua penerangannya, Shuhaimi Shafiei berkata PKR Selangor menjangkakan demikian memandangkan tindakan yang ditunjukkan pihak berkuasa kini "ke arah itu."

NONE "Darurat mungkin diisytiharkan, kita tidak tahu. Kita jangka mungkin sampai ke peringkat itu sebab pakai baju kuning pun tak boleh.

"Untuk padamkan kebangkitan rakyat ini, kita jangka mereka akan guna apa saja termasuk perintah darurat dan guna kuasa (mengikut undang-undang) ISA," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Tambahnya, keadaan itu juga diramal berlaku berdasarkan tindakan polis yang giat menahan pemimpin parti berkenaan.

Naik tren ke Kuala Lumpur

Katanya lagi PKR juga telah menyediakan pelan darurat bagi menghadapi tindakan berkenaan, namun parti berkenaan buat masa ini tetap dengan rancangan asalnya untuk mengerahkan anggotanya.

Tambahnya, PKR Selangor telah menyediakan pelan laluan kepada 70,000 penyokongnya di sekitar Selangor dan Lembah Kelang untuk membolehkan mereka menyertai perhimpunan berkenaan.

bersih rally 271207 05 Anggota berkenaan telah diarahkan supaya hadir dalam perhimpunan berkenaan, kata Shuhaimi lagi.

Kumpulan penyokong berkenaan akan dibahagikan mengikut lima zon laluan bagi membolehkan mereka menggunakan perkhidmatan tren ke Kuala Lumpur.

Tambahnya, PKR Selangor juga menyediakan tempat tinggal untuk membolehkan penyokong berkenaan bermalam di Kuala Lumpur.

Bantuan guaman

"Kita sediakan rumah untuk dikongsi, untuk keperluan asas mandi, bilik air dan untuk tidur sedikit. Senarai tempat tinggal ini akan disiarkan di lamanweb PKR Selangor," katanya lagi yang menggalakkan penyokong berkenaan supaya hadir dua hari lebih awal.

NONE Ketika ditanya, Shuhaimi berkata penyokong berkenaan juga akan mendapat bantuan guaman daripada sekurang-kurangnya 350 orang peguam yang berdaftar dengan PAS Selangor sekiranya ditahan pihak berkuasa.

"PAS Selangor akan bantu dengan nasihat guaman kalau berlaku tangkapan dan kita juga akan sediakan nombor telefon peguam kalau berlaku tangkapan sebelum atau semasa perhimpunan.

"Kalau tak cukup lagi, rata-rata pemimpin (PKR) juga terdiri daripada peguam," katanya yang menambah, nombor telefon berkenaan juga akan disiarkan di laman PKR negeri.

Dalam pada itu, ADUN Sri Muda itu turut mempertikai tindakan "berat sebelah" polis menahan individu yang hanya memakai kemeja-T dengan slogan BERSIH.

Shuhaimi juga mendakwa, polis bagaimanapun tidak menyiasat tindakan pihak tertentu yang mengedar cakera video lucah di program Jelajah Selangor Tawan Malaysia anjuran PKR.

"Saya buat laporan polis tapi tidak disiasat, tapi pemimpin yang menyeru supaya pergi ke perhimpunan BERSIH disiasat," katanya lagi, katanya yang menganggap tindakan polis itu sebagai pencabulan ke atas kebebasan bersuara.

ADS