Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sekumpulan seniman dan budayawan mendakwa tindakan polis menyiasat Datuk A Samad Said ekoran sokongan terbukanya pada perhimpunan BERSIH 9 Julai ini adalah satu penghinaan terhadap sasterawan negara itu.

NONE Menamakan diri mereka sebagai Seniman Paksi Rakyat (PAKSI), mereka menyifatkan tindakan polis menyiasat A Samad atas akta hasutan dan akta polis sebagai tidak wajar dan menimbulkan curiga terhadap "manusia sebaik A Samad".

"Maka PAKSI berharap kepada pihak yang berkuasa agar tidak menggunakan kuasa yang ada secara sewenang-wenangnya dalam apa pun keadaan," kata presidennya Che Shamsuddin Othman.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Dinsman malah meminta masyarakat umum membaca sendiri puisi A Samad yang dikatakan boleh menghasut dan mengganggu keselamatan itu.

Bercakap dalam sidang media di Shah Alam hari ini, Che Shamsuddin juga menggesa A Samad terus menikmati kebebasan berkarya agar dapat menyumbang sesuatu yang berharga.

NONE Ditanya tentang tindakan kebanyakan seniman yang masih berdiam diri, Che Shamsuddin berkata beliau kesal dengan tindakan itu.

"Saya kesal, mereka membiarkan Pak Samad begitu sahaja," katanya yang juga dramatis terkenal.

Bagi A Samad sendiri, beliau menyifatkan golongan itu sebagai "menjaga periuk nasi sendiri."

Manakala setiausaha PAKSI, Hasni Abas pula membidas tindakan polis yang didakwanya bertanyakan jumlah bayaran yang diterima A Samad ketika membacakan puisi di majlis pelancaran BERSIH baru-baru ini.

"Mereka tanya berapa Pak Samad dibayar kerana membaca sajak. Ini satu penghinaan," katanya. 

ADS