Anak syarikat pembekal nadir bumi, Lynas Corporation, di Malaysia, akan membelanjakan sehingga US$210 juta bagi pembinaan fasa kedua kilang penapisan yang dirancang di Kuantan, Pahang.

NONE Menurut laporan Australian Associated Press (AAP), Lynas Malaysia menandatangani surat anugerah dengan syarikat kejuruteraan Thai, Toyo-Thai Corporation, bagi kerja fasa kedua di kilang bahan maju Lynas di Kawasan Perindustrian Gebeng di Kuantan.

Surat anugerah itu bagi harga tetap sepenuhnya antara US$180 juta hingga US$210 juta.

Tertakluk kepada kelulusan, pembinaan dijadualkan siap pada tiga bulan terakhir 2012.

Fasa pertama kilang itu dijangka siap menjelang akhir tahun, kata AAP .

Awal bulan ini, saham Lynas turun berikutan laporan media bahawa kilang itu ditangguhkan selama satu hingga dua tahun.

Lynas menafikan laporan itu.

- Bernama