Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Iklan 'ah long', ubat seks banyak diturunkan DBKL
Diterbitkan:  Jul 19, 2011 1:22 PM
Dikemaskini: 5:27 AM

Iklan 'ah long' dan ubat perangsang seks adalah antara iklan haram paling banyak diturunkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk M Saravanan berkata bagaimanapun jumlah iklan haram yang diturunkan bagi tempoh itu berkurangan kepada 227,985 berbanding 243,484 tahun lalu.

Tindakan tegas kerajaan membanteras masalah ceti haram dan pengedaran ubat kuat antara faktor iklan seperti ini makin berkurangan di ibu kota, katanya kepada pemberita, di Kuala Lumpur hari ini.

Saravanan berkata daripada jumlah itu, Cheras mencatatkan paling banyak iklan haram diturunkan iaitu 44,829, diikuti Batu (37,707), Bandar Tun Razak (33,321), Bukit Bintang (26,488), Wangsa Maju (25,029) dan selebihnya di kawasan lain.

"Pelekat ini masalah...boleh rosakkan harta awam seperti pondok telefon dan papan tanda. Papan tanda yang ada iklan haram ini lagi masalah besar kerana informasi pada papan tanda itu tidak boleh dibaca pengguna," katanya.

Beliau berkata sepanjang tahun lepas, DBKL menyerahkan kira-kira 400 nombor telefon yang dicetak pada iklan haram itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan pembatalan talian.

"SKMM dicadangkan tubuh unit khas bagi membatalkan nombor telefon itu dengan cepat. Lebih cepat dapat batalkan makin kurang orang yang telefon nombor itu," katanya.

Beliau ditemui sebelum Operasi Penurunan Iklan Haram di Gombak Kuala Lumpur, yang melibatkan 80 anggota DBKL membabitkan kawasan Desa Setapak, Teratai Mewah dan Taman Bunga Raya.

- Bernama

ADS