Rosmah Mansor menidakkan satu lagi laporan yang mendakwa suaminya, bekas perdana menteri Najib Razak, akan membayar denda RM50 juta bagi kes SRC International.

Denda itu merupakan satu-satunya penghalang untuk Najib keluar dari penjara dan ditempatkan di bawah tahanan rumah, di mana pasangan itu mungkin boleh tinggal serumah.

Ketika ditemui pemberita di mahkamah di Kuala Lumpur, Rosmah berkata tiada sesiapa dalam keluarganya yang tahu mengenai rancangan untuk menyelesaikan denda itu.

"Saya tidak tahu. Keluarga tidak tahu dan saya tidak diberitahu mengenainya," katanya kepada pemberita.

Rosmah - yang berada di mahkamah untuk kes rasuahnya sendiri - menegaskan kepada Malaysiakini bahawa dia mahupun keluarganya tidak mempunyai maklumat mengenai sebarang rancangan untuk membuat pembayaran itu buat masa ini.

Peguamnya Akberdin Abdul Kader turut berseloroh bahawa pihak media nampaknya lebih tahu berbanding isteri Najib sendiri.

Awal hari ini, Utusan Malaysia melaporkan bahawa dua wakil Najib dilihat meninggalkan kaunter pembayaran mahkamah.

Namun semakan Malaysiakini dengan kakitangan keselamatan mahkamah mendapati tiada denda dibayar, manakala pengamal media lain tidak dapat mengesahkan laporan Utusan itu.

Malaysiakini menghubungi peguam Najib - yang akan menjadi pihak yang membuat pembayaran itu - untuk mendapatkan ulasan.

Sebelum ini, satu laporan yang mendakwa denda itu akan dibayar pada Rabu turut dinafikan.