Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kosongkan premis: Permohonan ADUN Umno ditolak
Diterbitkan:  Jul 26, 2011 7:28 PM
Dikemaskini: 11:32 AM

Ketua Pembangkang Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim hari ini gagal dalam usahanya untuk membatalkan arahan kerajaan negeri supaya beliau mengosongkan premis Pusat Komuniti ADUN Penaga, iaitu kawasan yang diwakilinya.    

Hakim Datuk Rohana Yusof menolak permohonan semakan kehakiman itu di dalam kamar untuk mencabar arahan Pegawai Daerah Seberang Perai Utara.

NONE Dalam permohonan yang difailkan Disember tahun lalu, Azhar menamakan Pegawai Daerah Seberang Perai Utara dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai responden.

Beliau memohon mahkamah mengisytiharkan arahan Pegawai Daerah Seberang Perai Utara melalui surat bertarikh 8 Nov tahun lalu, yang mengarahkan beliau mengosongkan premis berkenaan pada atau sebelum 19 Nov lepas, adalah batal dan tidak sah.

Bercakap kepada pemberita kemudian, peguam Jenine Gill yang mewakili kedua-dua responden berkata hakim memutuskan pemohon (Azhar) tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk mencabar arahan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata Azhar pada masa ini tidak perlu mengosongkan pusat komuniti itu kerana mahkamah telah membenarkan permohonan peguam beliau, Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos, untuk menggantung sementara keputusan itu sehingga permohonan sebenar didengar.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Azhar berkata pusat komuniti berkenaan yang mula beroperasi sekitar tahun 2006 semasa kerajaan negeri itu diperintah BN, dibina khas untuk pelbagai aktiviti melibatkan kepentingan dan kebajikan penduduk di Penaga.

Beliau berkata sejak tampuk pemerintahan kerajaan negeri dipegang DAP, operasi pusat komuniti itu berjalan seperti biasa sehingga 18 Nov lalu, iaitu setelah arahan penyerahan kunci dibuat Pegawai Daerah berkenaan.

ADUN Penaga itu berkata beliau menghantar surat kepada Pegawai Daerah berkenaan pada 16 Nov 2010 meminta arahan tersebut disemak semula, namun sehingga kini kedua-dua responden tidak memberi sebarang jawapan.

Katanya beliau belum menyerahkan kunci premis berkenaan kerana berharap Pegawai Daerah mempertimbangkan permohonannya untuk menyemak semula arahan itu.

Azhar juga mendakwa arahan itu bermotifkan politik semata-mata kerana beliau adalah ketua pembangkang DUN.

- Bernama

ADS