Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes tipu kabinet Dr Ling bermula hari ini
Diterbitkan:  Aug 1, 2011 10:22 AM
Dikemaskini: 9:05 AM

Perbicaraan kes penipuan pembelian tanah bernilai RM1.08 bilion berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang membabitkan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik bermula di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini.

Kes itu didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmadi Asnawi dan dijangka 40 saksi akan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan tersebut.

NONE Pada 29 Julai 2010, Dr Ling didakwa atas satu tuduhan utama dan satu tuduhan pilihan menipu kerajaan Malaysia dengan mengelirukan Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan terhadap pembelian tanah di Pulau Indah.

Bekas menteri Kabinet itu didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu antara 25 Sept 2002 dan 6 Nov 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya.

Mengikut pertuduhan utama, Dr Ling didakwa menipu Kabinet untuk mempersetujui pembelian tanah mengikut terma-terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Penipuan itu dilakukan dengan mengetahui bahawa beliau (Dr Ling) boleh menyebabkan kehilangan kepada Kerajaan Malaysia, yang kepentingannya di dalam urusan yang berkaitan dengan penipuan itu, beliau terikat oleh suatu kontrak di sisi undang-undang untuk melindungi.

Bagi pertuduhan utama, Dr Ling dituduh mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun, denda, atau  kedua-duanya jika sabit kesalahan.

azlan Bagi pertuduhan pilihan, Dr Ling didakwa menipu Jemaah Menteri dengan curangnya menyembunyi fakta serupa pada tempat dan tarikh yang sama, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dr Ling mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah dan Manoj Kurup manakala Dr Ling diwakili peguam Wong Kian Kheong.

- Bernama

ADS