Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BERSIH: 'SPR lebih beria-ia pertahan parti pemerintah'
Diterbitkan:  Aug 12, 2011 5:28 PM
Dikemaskini: Aug 13, 2011 1:54 AM

BERSIH 2.0 amat dukacita melihat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus membuat ulasan yang memudarkan semangat muafakat bekerjasama ke arah pilihan raya yang lebih bersih, tetapi sebaliknya mendakwa suruhanjaya itu lebih "beria-ia mempertahankan parti pemerintah".

NONE Jawatankuasa pemandu BERSIH juga sangat kecewa dengan cara Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ( kiri ) yang didakwanya terus mengambil pendekatan konfrontasi melampau dan tidak produktif.

"Kami telah menyatakan berulangkali bahawa matlamat BERSIH 2.0 adalah sistem pilihan raya yang bersih dan adil untuk semua rakyat Malaysia, bukannya untuk memburukkan mana-mana institusi atau mempromosikan sebarang agenda politik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, BERSIH 2.0 hanya berminat untuk melihat pilihan raya yang bersih.

"Sekiranya BN atau mana-mana parti menang melalui pilihan raya yang bersih dan adil, maka matlamat kami telahpun tercapai," tegas kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, BERSIH berpendapat SPR dan Wan Ahmad mesti menumpukan perhatian mereka dengan melibatkan diri bersama-sama masyarakat madani bagi memperbaiki institusi awam dan "bukannya terlibat dalam perang mulut dengan parti-parti politik".

"Ulasan terkini yang dibuatnya, mengancam kewibawaan awam berkenaan sifat 'non-partisan' SPR yang diperlukan untuk mengekalkan keyakinan orang ramai.

Masalah daftar pemilih

"Membuat kritikan politik merupakan tugas seorang timbalan pengerusi sebuah parti politik, dan bukannya tugas timbalan pengerusi SPR," tambah kenyataan itu.

Berikutan itu, katanya, BERSIH 2.0 berharap SPR menumpukan tenaganya untuk menyelesaikan masalah besar, yang dikesan daftar pada pemilih seperti “skandal Mismah”.

Perkara itu, menurut gabungan NGO itu, mendedahkan perkembangan membimbangkan mengenai pemberian hak mengundi kepada seseorang yang diragukan kewarganegaraannya.

azlan "Masalah daftar pemilih lain termasuk kejadian pengundi bernama 'Kg Baru', penyelewengan yang serius berkenaan pengundi berganda serta alamat penuh sesak dan sebagainya.

"SPR sepatutnya memberi perhatian untuk membetulkan masalah ini dengan segera dan bukannya mempertahankan serta menjadikan perkara ini sebagai isu politik yang menjejaskan kewibawaan semua pihak," tegas kenyataan itu lagi.

Mengenai isu pengesahan biometrik, katanya, BERSIH 2.0 memandang serius laporan terbaru bahawa pihak polis sedang menyiasat penyelewengan sistem biometrik yang digunakan untuk mendokumentasi pekerja asing.

"Lebih tepat lagi, ianya merupakan kelemahan yang akan membolehkan penipuan pilihan raya secara besar-besaran sekiraya hanya sistem biometrik sahaja digunakan untuk mencegah pengundi hantu.

"Kami masih belum mendengar hujah-hujah meyakinkan tentang kenapa kaedah dakwat kekal yang lebih murah, mudah dan lebih berkesan tidak patut dipakai," tambahnya.

'Malaysia yang kami hasratkan'

Menurutnya, kenyataan Wan Ahmad bahawa semua parti politik mempunyai akses yang sama rata kepada media, dibuat tanpa sebarang penelitian rapi.

"Membandingkan penerbitan parti yang sangat terhad edarannya dengan akhbar-akhbar nasional dan khidmat penyiaran kebangsaan yang dikawal parti pemerintah adalah amat mengelirukan.

"Kenyataan bahawa parti pembangkang 'memiliki media baru' juga tersasar daripada pokok permasalahannya.

"Malaysia yang kami hasratkan adalah di mana kesemua parti politik daripada kedua-dua belah pihak memiliki hak yang sama terhadap kesemua jenis media, tanpa ada pengecualian," kata kenyataan itu.

NONE Oleh itu, katanya, BERSIH 2.0 menolak sepenuhnya apa sahaja perbandingan antra perhimpunan aman 9 Julai di Kuala Lumpur dengan rusuhan di United Kingdom ( kiri ).

"Meskipun berdepan dengan tindakan keras pihak polis, berbagai rakaman video dan pengakuan saksi yang tidak terkira ramainya telah membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa rakyat Malaysia benar-benar mampu untuk berhimpun secara aman selari dengan hak-hak perlembagaan kita untuk sama-sama menuntut sebuah negara yang lebih demokratik dan sihat.

"BERSIH 2.0 sentiasa bercita-cita agar dapat bekerjasama dengan semua institusi kerajaan dan pemimpin politik tanpa mengira wadah mereka untuk bersama-sama mewujudkan Malaysia yang lebih baik.

"Kami berharap pertengkaran kecil dan kedangkalan alasan sekarang ini dapat digantikan dengan sikap yang ikhlas, berfikiran terbuka dan bekerjasama dalam semangat cintakan tanahair," katanya.

ADS