Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddn puji PM ambil tindakan berani
Diterbitkan:  Sep 17, 2011 4:00 PM
Dikemaskini: 10:37 AM

Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pihak-pihak tertentu dan orang ramai supaya tidak berprasangka buruk terhadap keputusan kerajaan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).

    

Timbalan Perdana Menteri berkata pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan perkara itu sebenarnya mengejutkan banyak pihak terutama pembangkang yang tidak percaya kerajaan akan berbuat demikian.

    

Muhyiddin, yang menyifatkan pengumuman perdana menteri itu sebagai satu tindakan berani, berkata keputusan itu bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya dilakukan selepas kajian dan penelitian yang mendalam.

    

"Ini membuktikan keberanian pimpinan Perdana Menteri. Ia bukan kerana desakan mana-mana pihak walaupun ia telah dibangkitkan sekian lama. Ia harus disambut baik oleh rakyat tidak kira kaum dan keturunan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kenduri Rakyat Merdeka Raya di Dewan Gerakan Masyarakat Perda, Sungai Acheh di Nibong Tebal hari ini.

    

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan beberapa pemimpin parti pembangkang yang walaupun menerima baik cadangan itu tetapi secara sinis tidak percaya perkara itu akan dilaksanakan.

    

Dua hari lepas perdana menteri dalam perutusan khas Hari Malaysia mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

   

Muhyiddin berkata pengumuman itu bukanlah 'gula-gula' untuk rakyat memandangkan keputusan itu dibuat kerana Perdana Menteri prihatin dengan situasi dalam negara, harapan rakyat dan perkembangan semasa.

    

"Ini bukan main-main... kenyataan terbuka (oleh Perdana Menteri) bukan hanya kepada rakyat Malaysia tetapi di seluruh dunia. Itu (pihak yang mendakwa) hendak memperkecilkan keputusan kerajaan. Ia adalah untuk kepentingan negara dan rakyat, bukan untuk kepentingan kerajaan atau parti memerintah. Apa saja keputusan kerajaan untuk kepentingan rakyat.

    

"Ini adalah janji Perdana Menteri waktu mula-mula memegang jawatan itu. Satu janjinya untuk membuat transformasi kepada negara. Kita sudah buat transformasi ekonomi, transformasi kerajaan dan kini melengkapkan transformasi politik yang berhubung kait dengan situasi politik, keselamatan negara, hak asasi manusia dan kebebasan bersuara. Ini bermakna kita sudah berganjak ke satu tahap matang," katanya.

    

Timbalan perdana menteri berkata yang pasti soal-soal penting berkaitan tanggungjawab kerajaan untuk memelihara keamanan, perpaduan dan keselamatan daripada ancaman-ancaman yang mungkin dihadapi pada masa akan datang, ada undang-undang sedia ada ataupun undang-undang baru yang perlu diperkenalkan.

Langkah ini, katanya, untuk memastikan keselamatan rakyat terjamin tanpa  menggugat hak mereka sendiri dalam konteks perlembagaan negara.

    

Beliau berkata dua undang-undang baru yang akan diperkenalkan itu dijangka diputuskan di Parlimen sebelum akhir tahun ini.

Muhyiddin berkata kerajaan akan memberi penjelasan terperinci berkaitan pemansuhan ISA dan langkah yang akan dilaksanakan berkenaan undang-undang baru yang akan diperkenalkan.

    

"Rakyat mungkin tidak memahami atau ada pihak lain salah tafsir atau ada pihak-pihak tertentu yang mempolitikkannya. Jadi janganlah buruk sangka tentang apa yang dilakukan.

  

"Perdana menteri dan kami dalam Kabinet menyedari perkara-perkara yang menjadi perhatian dan keutamaan rakyat. Kerana itu tindakan ini (pemansuhan) tidak dijangka. Dari sudut kerajaan ia bukan dilakukan secara terburu-buru kerana ia dibuat secara diteliti dan secara halus sejak beberapa tahun lepas," katanya.

Beliau berkata apa yang penting pihak yang terlibat dengan penguatkuasaan undang-undang seperti polis dan Jabatan Peguam Negara perlu diperkukuhkan kemampuan supaya apa saja bahan bukti yang dibawa dapat diambil keputusan dengan jelas.

    

Timbalan perdana menteri berkata terdapat juga pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk memansuhkan perkara-perkara yang merupakan kuasa eksekutif kerajaan untuk membataskan kuasa itu kepada mahkamah terutama dalam soal yang berkaitan keganasan.

Beliau berkata kerajaan pimpinan BN sentiasa meneliti bentuk undang-undang berganti terutama untuk kes-kes yang berkaitan soal keganasan dan jenayah terancang yang boleh memberi kesan kepada keselamatan rakyat dan tidak boleh dikompromi.

    

"Undang-undang sebegitu ada banyak di negara-negara maju. Undang-undang sebegitu tidak dianggap mengekang hak asasi manusia... yang penting menjaga keselamatan dan keamanan negara. Kita tak kekang hak individu walaupun pandangannya tak sama dengan pimpinan kerajaan.

"Untuk mencapai negara maju kita kena buat perubahan pada undang-undang sedia ada seperti yang melibatkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan hak asasi manusia," katanya.

- Bernama

ADS