Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gerakan akan serah semula kerusi Gerik kepada Umno
Diterbitkan:  Sep 25, 2011 8:49 PM
Dikemaskini: 12:52 PM

BN dijangka menyerahkan semula kerusi Parlimen Gerik untuk ditandingi oleh wakil Umno pada pilihan raya umum akan datang.

dr zambry abd kadir perak new cm bn 050209 Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata calon Umno mungkin akan bertanding semula di kerusi Parlimen Gerik, yang kini disandang wakil Gerakan, pada pilihan raya akan datang.

Ditemui selepas majlis Hari Raya Lembaga Pertubuhan Peladang Perak di Ipoh, Zambry berkata perbincangan masih dijalankan antara parti-parti komponen mengenai kedudukan pengagihan kerusi jika Parlimen Gerik ditandingi semula oleh Umno.

Zambry, yang juga Menteri Besar Perak berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membayangkan BN akan mengekalkan status quo pembahagian kerusi parti komponen BN pada pilihan raya umum akan datang kecuali jika wujud keperluan dan persetujuan antara parti-parti komponen BN untuk bertukar kerusi.

Kerusi yang ditandingi Umno itu diserahkan kepada Gerakan pada pilihan raya 2008 selepas kerusi yang ditandingi Gerakan di Parlimen Bukit Gantang diserah kembali kepada Umno.

"Jadi pada kali ini pun kita akan melihat kedudukan yang sama... umpamanya Parlimen Gerik sudah tentu tidak lagi sesuai untuk Gerakan... malah Gerakan juga ada mencadangkan untuk mereka berada di tempat lain,” katanya.

Gerakan bertanding di Parlimen Bukit Gantang pada 2004 selepas kerusinya di Parlimen Taiping diserahkan kepada Parti Progresif Penduduk (PPP).

Zambry berkata parti komponen BN Perak telah mencapai persefahaman mengenai perlunya pengubahsuaian tempat yang ditandingi tanpa menjejaskan status quo pembahagian kerusi.

Soal pertukaran kerusi calon sememangnya menjadi amalan biasa BN dan ia dilihat bukan satu masalah besar, katanya.

”Apa yang lebih penting adalah persefahaman sesama ahli parti kerana ia merupakan faktor kekukuhan BN pada masa akan datang,” katanya.

- Bernama

ADS