Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bajet alternatif Pakatan Rakyat yang dibentangkannya hari ini bertujuan membantu rakyat "mengharungi suasana ekonomi yang semakin menghimpit."

NONE Katanya, bajet berkenaan juga akan menumpukan usaha untuk mengurangkan defisit kepada 4.4 peratus berbanding kadar 6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini.

Anwar ( tiga dari kanan ) berkata, Pakatan memperuntukkan RM220 bilion kepada sasaran berkenaan yang melibatkan penjimatan perbelanjaan sebanyak RM4 bilion dari kadar yang dibelanjakan BN.

"(Namun) kita yakin melalui pengurusan wang negara yang lebih berhemah, telus, bertanggungjawab dan berkesan, jumlah RM220 bilion ini akan memberi 20 peratus nilai tambah kepada rakyat, berbanding apa yang dibelanjakan BN selama ini," katanya.

Antara lain, bajet berkenaan turut menyasarkan untuk mengurangkan kuasa perdana menteri, kata Anwar lagi ketika mendedahkan bajet berkenaan hari ini.

azlan "Pakatan dengan itu bercadang untuk memotong belanjawan perdana menteri sebanyak RM10 bilion," katanya.

Selain itu, Pakatan juga akan memperkenalkan dasar untuk menghentikan kecenderungan dan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam membuat keputusan kerajaan.

RM4.4 bilion baiki sistem pendidikan

Tindakan berkenaan bertujuan mengembalikan peruntukan berkenaan kepada kementerian berkaitan dan mengurangkan kecenderungan perbelanjaan berlebihan oleh perdana menteri, katanya lagi.

Selain itu, bajet berkenaan menggariskan bantuan "untuk mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada program khusus untuk mengurangkan bebanan rakyat", antaranya dengan:

  1. Mengekalkan subsidi RM22 bilion dengan mengambil kira unjuran harga minyak mentah terkini bagi mengelakkan sebarang kenaikan harga bahan api.
  2. Menghapus subsidi korporat seperti kepada pemilik penjana tenaga bebas, monopoli beras oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) serta monopoli lesen teksi oleh golongan berkepentingan.
  3. Bayaran bonus kepada warga emas dijangka menelan balanja RM1.7 bilion setahun.
  4. Bayaran kepada suri rumah sebanyak RM1,000, membabitkan peruntukan RM2 bilion.
  5. Bayaran tambahan kepada keluarga kategori miskin tegar supaya dapat memastikan pendapatan sekurang-kurangnya sebanyak RM550 sebulan.
  6. Menyelaras bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada RM550 sebulan.

Selain itu, bajet berkenaan juga menggariskan RM4.4 bilion untuk memperbaiki sistem pendidikan, termasuk elaun khas guru (RM500 sebulan) dan juga gaji minimum untuk kakitangan awam sebanyak RM1,100.

Beliau mendedahkan sebahagian daripada intipati bajet bertemakan "Kesejahteraan Untuk Semua" itu kepada petugas media dan ahli parlimen pembangkang di bangunan parlimen hari ini.

ADS