Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sekumpulan aktivis sebuah NGO hari ini menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berhubung dakwaan isu pemberian kerakyatan dan hak mengundi kepada warga asing.

Seramai 12 orang dari Sekretariat Jingga 13 yang diketuai ketua koordinatornya Fariz Musa menghantar memorandum tersebut di ibupejabat polis Bukit Aman kira-kira jam 3.15 petang tadi.

NONE Memorandum tersebut disampaikan kepada Pegawai Penerbitan Cawangan Perhubungan Awam DSP N Venugopal di hadapan pintu masuk ke ibupejabat polis itu.

Dalam memorandum tersebut, mereka mendesak supaya Ismail mengambil tindakan tegas berhubung perkara tersebut yang didakwa mereka sebagai "satu pengkhianatan" kepada negara.

"Ini satu perkara yang serius...Kami berharap ketua polis negara membuat siasatan segera terhadap memorandum ini dan mengambil tindakan tegas (terhadap mereka yang terbabit)," kata Fariz.

Dakwanya, ia berdasarkan bukti-bukti sumber berita yang dilaporkan dalam Wikileaks, Malaysiakini dan laman sesawang stesen TV SCTV di Indonesia.

Antaranya adalah dakwaan Wikileaks yang mendakwa bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengaku mengeluarkan lebih 60,000 kad pengenalan palsu di Sabah.

Bagaimanapun, Abdul Rashid dilapor oleh akhbar New Straits Times, menafikan dakwaan dalam Wikileaks itu dan menegaskan beliau “tidak kena-mengena” dengan pengeluaran kad pengenalan itu.

Dalam laporan itu, beliau juga menekankan bahawa pengeluaran kad pengenalan bukan di bawah bidang kuasa suruhanjaya itu tetapi di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Apa yang SPR lakukan ialah hanya untuk mendaftarkan warganegara dengan kad pengenalan sebagai pengundi," kata Abdul Rashid dalam laporan tersebut bulan lalu.

Selain itu, sekretariat itu turut melampirkan laporan laman web SCTV bertarikh 25 Ogos 2005 yang mendakwa ribuan nelayan Bugis yang berasal dari Indonesia telah diberikan MyKad.

Fariz yang juga ahli majlis pimpinan pusat PKR memberitahu pemberita demikian dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum tersebut.

NONE Sekretariat itu juga melampirkan laporan-laporan berita tersebut yang dikepilkan bersama sebagai bukti dalam memorandum 13 muka surat itu.

Ia juga memohon agar satu siasatan menyeluruh dibuat terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) berhubung dakwaan "kewujudan identiti palsu dalam daftar pemilih SPR".

Fariz berkata tindakan menyerahkan memorandum itu sebagai langkah susulan selepas membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, bekas timbalan ketua Angkatan Muda PKR (AMK) berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang maklum balas berhubung aduan mereka itu.

"Kita tidak mahu timbulnya prejudis (rakyat) yang menggambarkan polis juga terlibat jika tiada tindakan," katanya.

VIDEO 6.54 mins

ADS