PAC dapati projek lembu banyak kelemahan

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berpendapat rakyat sudah mula "muak" mendengar penjelasan berulang dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhubung kontroversi yang melanda projek ternakan lembu, Perbadanan Fidlot Kebangsaan.

pac meeting on rmaf engine missing 200110 azmi khalidBagi Datuk Seri Azmi Khalid yang mempengerusikan mesyuarat PAC hari ini, perbincangan awal mendapati mendapati beberapa kelemahan yang berlaku pada awal perancangan dan juga perlaksanaan.

"Kelemahan yang paling ketara antara MOA dan NFC adalah di mana wang telah dikeluarkan kesemuanya sejak tahun 2008 hingga akhir 2009.

"Wang tersebut dikeluarkan kepada akaun khas yang mana ia memerlukan kelulusan kementerian untuk disalurkan kepada akaun operasi syarikat.

"Tetapi masalahnya setelah kesemua wang tersebut dikeluarkan barulah perjanjian dilakukan pada 2010," katanya.

Menurut Azmi, PAC juga mendapati banyak kelemahan yang berpunca di dalam pengurusan syarikat berkenaan.

"PAC mendapati hanya perkara yang sama berlaku dan kita dapati kelemahan yang jelas adalah sistem pengurusan yang mana ia tidak selari antara pengurusan dengan perlaksanaan.

pakatan rakyat convoy visit national feedlot corporation 031111 abbatoir"Dalam pada itu melihat kepada permasalah yang berulang ini PAC bersetuju untuk memanggil Kementerian Kewangan dan juga Ketua Setiausaha Negara bagi mencari penyelesaian serta memperbaiki kembali sistem yang lama yang tidak sesuai lagi pada masa sekarang," katanya.

Katanya, pada masa sekarang kebanyakan agensi mahupun jabatan lebih tertumpu kepada projek berkonsep perniagaan dan bagi mengelakkan perkara seperti NFC ini berulang maka perubahan kepada sistem operasi perlu dilakukan.

"Wujud kelemahan dalam sistem yang ada, apabila pihak audit menjalankan tanggungjawabnya serta memaparkan yang benar ia tidak akan disenangi oleh semua jabatan kerajaan," katanya.

azlanAhli parlimen, Padang Besar yang kecewa itu juga, berkata perkara seumpama itu menjadikan pentadbiran kerajaan BN kelihatan buruk.

Katanya, mesyuarat hari ini khusus kepada isu NFC tetapi pada peringkat awal Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sahaja dipanggil.

"Pada peringkat awal isu NFC ini kita hanya memanggil MOA dahulu untuk kita ketahui permasalahan tersebut, dan pihak NFC kita akan panggil bagi mendengar keterangannya pada bulan Januari 2012 tahun depan.

"Kita belum lagi membincangakn perkara ini secara khusus kerana PAC belum lagi memanggil NFC," katanya.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan pengurusan Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Januari depan berhubung kontroversi yang menyelubungi badan itu.

azlanAzmi berkata keputusan itu dibuat susulan pertemuan PAC dengan wakil Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada pendengaran dalaman pertama mengenai NFC di Bangunan Parlimen hari ini. 

"Mesyuarat hari ini tidak membincangkan secara khusus mengenai NFC. Kita memutuskan untuk memanggil (pengurusan NFC) ke PAC Januari depan," katanya kepada wartawan selepas mempengerusikan pendengaran itu.

Seramai 10 pegawai dari kementerian itu, yang diketuai oleh Ketua Setiausahanya Datuk Che Mohd Hisham Abdullah, hadir pada pertemuan itu. Turut hadir ialah bekas KSU kementerian Datuk Mohd Mokhtar Ismail.

Azmi berkata pada pertemuan hampir dua jam itu, pegawai-pegawai berkenaan memberitahu bahawa wang telah dikeluarkan kepada satu akaun khas dari 2008 hingga 2009, yang mana ia kemudian memerlukan kelulusan kementerian untuk disalurkan kepada akaun pengurusan NFC.

Bagaimanapun, perjanjian antara kementerian itu dan NFC hanya ditandatangani pada 2010.

"PAC mempersoalkan bagaimana wang boleh dikeluarkan sebelum perjanjian dimeterai tetapi jawapan terperinci tidak diperolehi. Kita telah bertanya kepada pegawai tetapi alasan yang diberikan macam-macam...mereka kata ia adalah mengikut sistem," katanya.

Kontroversi melanda NFC, yang mengendalikan projek perternakan lembu RM250 juta itu di Gemas, Johor, berikutan laporan Ketua Audit Negara 2010.

Azmi berkata PAC juga memutuskan untuk memanggil Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan wakil dari Kementerian Kewangan untuk memberi penerangan dari sudut sistem pengurusan dan pemantauan kerajaan.
 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.